Kemboja tiada persiapan Hari Raya

Astro Awani
Julai 16, 2015 15:58 MYT
Penduduk Khoriah Yusuf berkata dia gembira kerana mendapat bantuak Raya tahun ini.
Ketika umat Islam di negara ini sibuk melakukan persiapan terakhir bagi menyambut Aidilfitri, jauh di kampung Rakapopram, Kemboja suasananya sungguh berbeza.
Kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dibelenggu kemiskinan.
Tiada persiapan seperti kuih raya, baju raya mahu pun perhiasan rumah yang mewah bagi menyambut Aidilfitri mampu disediakan bagi golongan fakir miskin di situ.
“Hari Raya saya belum tahu lagi, tetapi hari ini saya dapat bantuan untuk Raya saya rasa gembira. Baju raya saya tak pernah dapat banyak tahun sebab saya susah,” kata seorang penduduk Khoriah Yusuf.
“Ada orang sedekah baju untuk Raya, anak-anak saya tak beli tapi hari ini saya dapat banyak hadiah bolehlah saya beli. Saya susah, menangis tiap-tiap hari susah tak boleh nak cakap,” katanya lagi.
Nasib sama juga di alami Nurain Abdullah, ibu kepada lima orang anak yang menyambut Aidilfitri kali ini tanpa suami tercinta yang telah kembali ke Rahmatullah setahun lalu.
Dia yang kini mengambil tugas menyara keluarga berkata tidak mampu menyediakan kelengkapan Hari Raya untuk anak-anaknya kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi.
Prihatin dengan nasib masyarakat Islam di kampung itu, pengarah urusan Nasmir Holdings Sdn Bhd , Datuk Khadar Shah Abdul Razak menyampaikan bantuan keperluan harian dan wang tunai kepada keluarga terbabit bagi meringankan beban menjelang Aidilfitri.
Beliau berharap dengan sumbangan yang diberikan itu mampu memberi keceriaan kepada golongan yang memerlukan tersebut.
Lebih 300 penduduk Kampung Rakapopram termasuk 120 anak yatim dikawasan tersebut menerima bantuan barangan keperluan dan wang tunai sempena Ramadan dan Aidilfitri dalam satu majlis yang diadakan di kampung itu baru baru ini.
#Aidilfitri #Kemboja
;