Kembara sebuah impian jadi kenyataan di Weissach bagi pemuda Malaysia
Fahmi Izuddin
Mac 21, 2023 12:50 MYT
Mac 21, 2023 12:50 MYT
IMPIAN seorang pemuda dari Malaysia, Krithin Paul Pereira, 22, yang ingin menjejakkan kaki ke ibu pejabat jenama kereta mewah popular, Porsche di Weissach, Jerman akhirnya tercapai.
Krithin yang juga merupakan seorang individu Orang Kurang Upaya (OKU), menempuh perjalanan hampir 10,000 kilometer bersama ibu bapa dan pengasuhnya untuk bertemu dengan pereka automotif jenama itu.
Melihat kepada keturajaan Krithin sehingga menjerit tanda gembira apabila melihat kenderaan model 911 GT3 dihadapan mata, bapanya Jackson Pereira menyifatkan itu adalah momen sebak dan sukar untuk dilihat.
"Dia telah menunggu saat ini begitu lama, dan kami bertarung untuk hidupnya berbulan-bulan. ia sukar dipercayai dan untuk dilihat," jelas Jackson.
Menurut Ibunya, Ashita, meskipun menghidap penyakit cerebral palsy sejak lahir, Krithin tidak pernah berputus asa untuk memperjuangkan impiannya, walaupun berbeza nasib dengan individu yang lain.
“Beliau sangat percaya bahawa setiap orang mempunyai masalah tersendiri,
"Walaupun masalahnya dianggap lebih besar, ia bukannya sebuah penghalang kepada impiannya untuk menjadi kenyataan,
"Sikap positif Krithin membolehkannya mencapai matlamatnya," kata Ashita.
Krithin juga berkesempatan bertemu dengan pereka Porsche, Stéphane Lenglin dan Tobias Benedini yang menyambut kedatangannya dan keluarga ke ibu pejabat Porsche.
Dalam pertemuan itu, Krithin juga sempat berkongsi bakat lakaran kereta mewah kepada kedua pereka profesional itu dan mereka menyifatkan beliau mempunyai kreativiti yang luar biasa.
"Dia mendapat perkadaran khusus untuk model yang betul. Ia luar biasa. Sebagai seorang pereka, saya sangat kagum dengan kemahirannya," ujar Lenglin sejurus melihat lakaran yang dihasilkan Krithin.
Selain itu, Krithin juga sempat bertemu dengan Detlev von Platen, ahli Lembaga Eksekutif, Jualan dan Pemasaran Porsche yang turut memberi peluang kepada Krithin merasai pengalaman memandu model 911 GT3 di Hockenheimring.
Beliau juga dibawa melawat Muzium Porsche di Stuttgart.
Krithin menjadi individu Malaysia pertama yang berjaya merasai pengalaman sedemikian dan dia berharap untuk membangunkan sebuah kereta mewah yang dibina khusus untuk golongan OKU.