Kembara Ramadan: NGO bantu sumbang 1,000 pek makanan kepada golongan asnaf

Azee Shafy
April 10, 2022 17:23 MYT
Norolazali Sulaiman menyampaikan pek makanan kepada golongan asnaf di setiap hentian dalam 18 kampung sepanjang Program Kembara Ramadan itu. - Foto Astro AWANI
BERA: Pertubuhan Volunteer DUN Guai (VN37) mengambil inisiatif menyantuni golongan kurang bernasib baik melalui penganjuran Kembara Ramadan DUN Guai Siri 13, semalam.
Pengarah Program, Nazrul Haizal Baharom berkata, program tahunan ini merupakan antara tanggungjawab sosial sukarelawan VN37 sempena bulan Ramadan.
Menurutnya, sebanyak 18 kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk membawa pek makanan bagi pengagihan di 18 kampung di seluruh DUN Guai, manakala 10 kenderaan dari beberapa jabatan turut mengiringi.
"Kita mula berkumpul sejak jam 7.30 pagi di perkarangan Dewan Konvensyen Majlis Aerah Bera (MDB), dan turut mendapat kerjasama dari lapan (8) NGO dalam daerah Bera ini.
"Kenderaan yang membawa pek makanan ini adalah dari semua pihak NGO terlibat, dan semua kelihat bersemangat memandangkan program ini memasuki tahun ke-13," katanya kepada ASTRO AWANI.
Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman yang melakukan penyerahan kepada penerima atau menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Nazrul Haizal berkata, melalui program ini, sebanyak 1,000 pek makanan disediakan, namun jumlah penerima bagi setiap kampung bergantung kepada golongan asnaf di kampung berkenaan.
Katanya, penglibatan NGO dalam program ini sangat dialu-alukan dapat memupuk semangat kesukarelawan dalam masyarakat khususnya golongan belia.
"Sememangnya kita mengharapkan lebih ramai NGO terlibat dalam program seperti ini. Lebih ramai lebih bagus tapi sudah pasti perlu mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Bera, Azman Shah Musa berkata, pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam program seperti ini.
Katanya dengan penglibatan mereka ini sekurang-kurangnya dapat mempromosi MBD, sekali gus menarik golongan belia untuk kembali aktif menyemarakkan aktiviti dalam komuniti.
"Sebelum ini, MBD agak aktif namun sejak negara dilanda pandemik COVID-19, semua aktiviti terpaksa dihentikan menyebabkan banyak persatuan belia 'sepi' tanpa sebarang perkembangan aktiviti.
"Mungkin dengan adanya program seperti pada masa akan datang, kita akan terus berkolaborasi bagi menaikkan semua nama belia," ujarnya.
Bagi President Cycling 4 Health (C4H), Ahmad Faizal Jusoh pula, usaha berkolaborasi ini adalah peluang untuk mereka merapatkan hubungan persaudaraan antara dalam kalangan NGO yang ada di daerah ini.
Katanya, hubungan ini bukan sekadar untuk memeriahkan program-program seperti Kembara Ramadan ini tetapi juga dapat bekerjasama untuk menyalurkan tenaga dan idea untuk membantu jabatan-jabatan dalam pelbagai aktviti.
"Kita sangat mengalukan penglibatan sukarelawan ini. Sebagai contoh, jika berlaku musibah banjir, golongan ini lah yang kerap membantu penduduk berpindah ke lokasi selamat, selain menghantar bekalan makanan kepada mereka.
"Jadi, tanpa mengira apa pun pertubuhan, kita perlu wujudkan semangat sukarelawan dalam kalangan ahli untuk menyemarakkan lagi kemeriahan dalam kemasyarakatan," katanya.
#Kembara Ramadan #Bera #Pertubuhan Volunteer DUN Guai #golongan asnaf
;