Kembara Prihatin Negara sasar 1 juta penerima bantuan

Hilmi Malik
November 1, 2020 13:35 MYT
Rina Harun (kiri) melancarkan program Kembara Prihatin Negara di Putrajaya pada Ahad. - Gambar KPWKM
PUTRAJAYA: Prihatin dengan nasib segelintir golongan yang berhadapan dengan kesulitan dalam meneruskan kehidupan, kerajaan tampil menghulurkan bantuan menerusi program Kembara Prihatin Negara.
Inisiatif ini akan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan bantuan khususnya bagi mereka yang terjejas ketika pandemik COVID-19.
Program yang dicetuskan ideanya oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu akan bergerak secara mingguan dan meliputi 108 daerah di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, program Kembara Prihatin Negara tidak hanya menghulurkan bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya, barangan keperluan harian serta kaunter bergerak bagi mereka yang ingin mendapatkan sebarang bimbingan juga ditawarkan.
“Program ini melibatkan kerjasama daripada rakan strategik dan kita menggalakkan penglibatan syarikat korporat agar lebih banyak bantuan dapat disalurkan.
“Kita sasarkan seramai satu juta penerima akan menerima manfaat menerusi program tersebut,” katanya ketika melancarkan program Kembara Prihatin Negara di Putrajaya pada Ahad.
Menyedari situasi semasa pandemik COVID-19 menjadi cabaran untuk kerja-kerja agihan bantuan, Rina berkata, pihaknya akan mengambil kira aspek prosedur operasi standard (SOP) terutamanya melibatkan kawasan di sekitar zon-zon yang berisiko.
Sementara itu, Rina memaklumkan, KPWKM turut mula menerima aduan mengenai kesulitan hidup yang dilalui oleh rakyat menerusi panggilan di Talian kasih.
“Kita sudah terima sebanyak 26,000 panggilan bagi tempoh sebulan berhubung beberapa aduan.
“Jika dibandingkan, aduan kali ini tidak begitu meningkat berbanding fasa pertama COVID-19 kerana ketika itu ada pihak yang panik dan terjejas akibat masalah kewangan,” katanya lagi
#KPWKM #COVID-19 #Rina Harun #bantuan #Kembara Prihatin Negara
;