Kembara Mahkota Johor 2023 labuh tirai

Bernama
Ogos 8, 2023 20:51 MYT
Tunku Ismail (tengah) tiba di Taman Rekreasi Rambah pada Kembara Mahkota Johor (KMJ), hari ini. KMJ bertujuan merapatkan hubungan Institusi Diraja Johor, pemimpin negeri dengan rakyat, yang memasuki edisi ke-23. - Bernama
KULAI: Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 edisi ke-23 melabuhkan tirai hari ini selepas empat hari Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan buat julung kali mengetuai konvoi Diraja itu, menjelajah ke 10 daerah di negeri ini, bertemu rakyat.
Tunku Ismail dan isteri Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam selamat tiba di lokasi terakhir di Kompleks Penghulu Mukim Sedenak di sini, kira-kira 12.30 tengah hari tadi, setelah berlepas dari Taman Rekreasi Sungai Rambah, Pontian.
Berangkat sama adinda Tunku Ismail iaitu Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim serta Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan suami Datuk Dennis Muhammad Abdullah.
Sejurus tiba, Tunku Ismail dan Khaleeda berangkat ke Teratak Wak Salam untuk menziarahi dan beramah mesra dengan penduduk Kampung Air Manis di sini.
Seorang penduduk yang menghidapi kanser, Mohd Isa Isuwandi, 51, menzahirkan rasa terharu apabila menerima kunjungan Tunku Ismail dan kerabat Diraja Johor ke rumah keluarganya.
Mohd Isa berkata KMJ yang diilhamkan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, ternyata merupakan cara keluarga Diraja Johor mencemar duli bertemu rakyat dengan mengetepikan soal protokol yang ketat.
"Banyak pengisian dalam KMJ kali ini, sekali gus membawa seribu rahmat kepada rakyat kerana dapat berjumpa dan melihat lebih dekat keluarga Diraja Johor. Termasuklah saya yang sedang berjuang melawan kanser, sedikit sebanyak menerima berkatnya," katanya kepada pemberita hari ini.
Bapa kepada dua cahaya mata itu yang bekerja sebagai petani disahkan menghidap kanser hidung pada Oktober tahun lepas dan kini tidak lagi mampu membuat kerja berat kerana hidungnya sering berdarah dan akan mengeluarkan kahak berdarah ketika batuk.
KMJ diilhamkan oleh Sultan Ibrahim pada 2001 ketika menjadi Tunku Mahkota Johor, bertujuan menyelami denyut nadi rakyat jelata dan sejak itu, KMJ menjadi satu daripada acara utama tahunan Johor sekali gus merapatkan perhubungan Istana Johor di hati rakyat.
Selepas tiga tahun tidak diadakan susulan pandemik COVID-19, jelajah KMJ kembali merentasi 10 daerah meliputi perjalanan sejauh 879 kilometer mulai Sabtu dan berakhir hari ini.
-- BERNAMA
#Kembara Mahkota Johor #Tunku Ismail Sultan Ibrahim #rakyat johor #Kerabat diraja Johor #Istana Johor
;