Kembara Kenali Borneo: 'Tolong cap pasport saya' - Raja Permaisuri Agong 'usik' pegawai imigresen
Irfan Faruqi
September 9, 2023 14:01 MYT
September 9, 2023 14:01 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meneruskan jelajah Kembara Kenali Borneo hari ini dengan berangkat tiba di Pos Kawalan Imigresen ICQS Sungai Tujuh, Miri, Sarawak dari Brunei Darussalam pada jam 12.10 tengah hari tadi.
Kembara Kenali Borneo yang memasuki hari ketujuh pada Sabtu, juga terus diserikan dengan kemesraan pasangan diraja yang dilihat melalui proses imigresen sebelum meneruskan perjalanan ke Sarawak.
Dari Pos Kawalan Imigresen itu, Seri Paduka Baginda berdua dan rombongan Kembara Kenali Borneo meneruskan pengembaraan ke Bandar Raya Miri.
Menerusi hantaran di laman media sosial rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua dilihat berkenan menyerahkan pasport baginda berdua kepada seorang pegawai imigresen sambil berseloroh memohon
untuk dicap.
Usikan itu turut disambut gelak ketawa oleh mereka yang hadir.
Rata-rata komen yang dikongsikan oleh warga net teruja dengan penampilan Seri Paduka berdua dan mendoakan kesejahteraan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raya Permaisuri Agong.
Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September bermula di Tawau, Sabah dan akan berakhir di Telok Melano, Sarawak adalah program penjelajahan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.