Kembara Kenali Borneo: Orang ramai dinasihatkan jaga keselamatan, elak tunggu hingga lewat malam

Bernama
September 5, 2023 11:10 MYT
Yang di-Pertuan Agong (kiri) berkenan melambaikan tangan kepada rakyat jelata yang setia menanti keberangkatan tiba baginda di Pejabat ESSCom sempena Kembara Kenali Borneo di Lahad Datu, 4 Sept 2023. -- fotoBERNAMA
SANDAKAN: Istana Negara menasihatkan orang ramai agar sentiasa berada di bahu jalan dan tidak menyeberangi jalan raya ketika konvoi Kembara Kenali Borneo melintasi setiap lokasi yang dijadualkan untuk mengelakkan kemalangan atau kejadian tidak diingini.
Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, Istana Negara juga menasihatkan orang ramai supaya tidak bersusah payah menanti ketibaan konvoi tersebut terutamanya sehingga lewat malam bersama anak-anak kecil.
"Pihak berkuasa tempatan dimohon mengambil langkah-langkah kawalan yang berkesan bagi memastikan keselamatan diri orang ramai yang berada di bahu jalan raya terjamin," menurut hantaran itu.
Hantaran itu turut memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat terharu dengan sambutan hebat rakyat terhadap program Kembara Kenali Borneo yang sedang berlangsung sehingga 13 Sept ini.
Namun, Seri Paduka dan Pihak Urusetia Pelaksana Kembara Kenali Borneo juga amat prihatin dengan keselamatan diri dan ahli keluarga rakyat yang teruja menantikan ketibaan konvoi di setiap lokasi yang telah dirancang.
Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kini berkenan menyertai Kembara Kenali Borneo untuk mendekati penduduk di Sabah dan Sarawak, melibatkan pengembaraan jarak sejauh 2,154 kilometer dengan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.
Turut berangkat mengikuti program Kembara Kenali Borneo ialah paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Lebuhraya Pan Borneo #Kembara Kenali Borneo #keselamatan rakyat
;