Kembara Kenali Borneo kesempatan Agong bina jambatan silaturahim

Bernama
September 12, 2023 06:15 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bertitah pada Majlis Penutup dan Santapan Malam sempena Kembara Kenali Borneo. - Gambar BERNAMA
KUCHING: Kembara Kenali Borneo yang diilhamkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi peluang untuk Seri Paduka Baginda membina jambatan silaturahim antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Al-Sultan Abdullah bertitah, kembara itu diilhamkan semata-mata untuk mengenali rakyat di Sabah dan Sarawak secara lebih dekat lagi dengan mengambil pendekatan mendampingi dan menyantuni rakyat.
"(Kembara ini merupakan) kesempatan menghulur atau membina jambatan baharu yang tidak ada sungai. Jambatan itu adalah jambatan silaturahim. Kehadiran saya, keluarga saya, rombongan saya adalah seolah-olah mewakili sebahagian daripada rakyat di Semenanjung.
"Saya mewakili Raja-Raja Melayu menghulur tangan kepada semua sebagai satu keluarga negara Malaysia yang kita cintai ini," titah Seri Paduka Baginda di Majlis Penutup dan Santapan Kerajaan Negeri Sarawak bersempena Kembara Kenali Borneo di sini tengah malam ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, sambutan yang dipamerkan oleh rakyat di Sabah dan Sarawak di sepanjang jalan dan waktu yang dilalui konvoi kembara itu adalah di luar jangkaan dan akan menjadi kenangan manis buat Seri Paduka Baginda sekeluarga.
Dalam pada itu Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya wakil-wakil rakyat khususnya yang mewakili kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak untuk terus mendampingi rakyat bagi memahami keperluan mereka secara lebih mendalam.
Al-Sultan Abdullah bertitah, sepanjang kembara itu berlangsung banyak aduan serta surat permohonan daripada penduduk yang belum menikmati keperluan-keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya yang baik diterima.
Seri Paduka Baginda juga bertitah, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu memainkan peranan bersama yang lebih efektif untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Yang di-Pertuan Agong memberi jaminan semua aduan yang diterima daripada rakyat di sepanjang kembara itu akan diberikan perhatian sewajarnya serta akan dimajukan kepada pihak berwajib secepat mungkin.
Al-Sultan Abdullah yakin dengan komposisi wakil-wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak yang ada dalam Kerajaan Persekutuan, segala keperluan kedua-dua negeri itu dapat dipenuhi.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah, Kembara Kenali Borneo ini menjadi kunjungan terakhir Seri Paduka Baginda ke Sabah dan Sarawak sebagai seorang Yang di-Pertuan Agong sejak ditabalkan pada 2019.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, sepanjang tempoh itu, rakyat di Sabah dan Sarawak telah memberi sambutan hebat bukan hanya sewaktu kembara itu tetapi setiap kali Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkunjung ke Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu itu.
"Kunjungan ini adalah kunjungan terakhir saya sebagai Yang di-Pertuan Agong. Justeru, pada malam yang penuh bermakna ini saya ingin menzahirkan ucapan selamat tinggal dan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah dan Sarawak di atas segala memori manis yang akan terpahat segar dalam sanubari saya," titah Seri Paduka Baginda.
Majlis santapan itu turut dihadiri Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Rombongan Al-Sultan Abdullah melengkapkan Kembara Kenali Borneo bagi Sarawak yang merangkumi jarak sejauh 1,194 kilometer dengan membuat perjalanan ke Telok Melano esok, tapak permulaan bagi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, sebelum kembali ke Kuching dan berangkat pulang ke Kuala Lumpur.
- BERNAMA
#Kembara Kenali Borneo #Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #jambatan silaturahim
;