Kembara Kenali Borneo: Agong, Permaisuri tiba di Brunei
Astro Awani
September 8, 2023 10:35 MYT
September 8, 2023 10:35 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah tiba di Brunei melalui Pos Kawalan Imigresen Labu Temburong, malam tadi.
Keberangkatan tiba rombongan pasangan diraja itu bersama konvoi kembara 25 kenderaan dalam rangka lawatan khas sempena dengan Kembara Kenali Borneo.
Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah dan isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah selaku wakil peribadi Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah meraikan keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta rombongan.
Turut menyertai sambutan ketibaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong adalah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Setia Awang Ahmaddin Abdul Rahman dan Menteri Pembangunan, Datuk Seri Setia Awang Muhammad Juanda Abdul Rasyid.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan bersemayam di Bandar Seri Begawan sebelum menyambung kembara itu ke bandar raya Miri pada esok hari.
Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kini berkenan menyertai Kembara Kenali Borneo untuk mendekati penduduk di Sabah dan Sarawak, melibatkan pengembaraan jarak sejauh 2,154 kilometer dengan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.
Turut berangkat mengikuti program Kembara Kenali Borneo ialah paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.