Kembara Kenali Borneo: Agong, Permaisuri bertemu Didi dan Taburi di Sepilok
Bernama
September 5, 2023 14:59 MYT
September 5, 2023 14:59 MYT
SANDAKAN: Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, kira-kira 25 kilometer dari sini, yang terkenal sebagai pusat pemuliharaan dan penjagaan spesies orang utan yang semakin pupus di dunia, menjadi destinasi persinggahan pertama konvoi Kembara Kenali Borneo hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta rombongan berangkat meneruskan penjelajahan hari ketiga Kembara Kenali Borneo dan singgah di pusat itu dalam perjalanan menuju ke kawasan tengah Sabah.
Cuaca cerah hari ini melancarkan pergerakan konvoi dan keberangkatan Seri Paduka serta rombongan terus menerima sambutan hangat orang ramai yang menunggu di sepanjang bahu jalan raya menuju ke lokasi persinggahan, untuk melihat dengan lebih dekat pasangan diraja, selain merakamkan gambar dan video.
Semasa di Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok itu, Seri Paduka berdua berkenan memberi makan seekor anak Gajah Pygmy Borneo bernama 'Taburi' dan Tunku Azizah pula berkenan menamakan seekor anak orang utan di pusat itu dengan nama 'Didi'.
Seri Paduka berdua turut berkenan menurunkan tandatangan plak nama orang utan itu.
Pasangan diraja itu yang kelihatan teruja melihat hidupan dan persekitaran pusat pemuliharaan itu, ceria melayani gelagat Didi dan Taburi, yang keletah dan mempunyai sedikit sifat nakal seperti kanak-kanak.
Terdahulu, Seri Paduka berdua berkenan mendengar taklimat mengenai pusat pemulihan itu oleh Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga, sebelum beredar menuju ke Beluran.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah III Datuk Shahelmey Yahya dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup.
Didi merupakan Orang Utan Borneo atau nama saintifiknya Pongo pygmaeus merupakan spesies terancam kritikal dalam Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) sejak 8 Feb 2016.
Menurut laporan senarai itu, tiada jumlah tepat spesies tersebut pada masa ini, namun 55,000 ekor Orang Utan Borneo dianggarkan mendiami 82,000 kilometer persegi hutan di Sabah pada kajian tahun 2004, iaitu jumlah yang amat berkurangan berbanding 288,500 ekor pada 1973.
Taburi pula adalah Gajah Pygmy Borneo atau nama saintifiknya Elephas maximus borneensis merupakan spesies unik yang hanya terdapat di Borneo, bagaimanapun ia dalam kategori terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN sejak 18 Sept 2019.
Tiada jumlah tepat spesies itu pada masa ini, bagaimanapun menurut Pelan Tindakan Gajah Borneo Sabah 2020-2029 oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah, pakar menjangkakan terdapat tidak lebih 1,000 hingga 1,500 ekor gajah tersebut dalam tempoh pelan itu di seluruh negeri itu.
Pusat pemuliharaan seluas 1,737.72 hektar yang terletak di pinggir Hutan Simpan Kabili-Sepilok itu ditubuhkan pada 1964 dan menyediakan penjagaan perubatan kepada anak orang utan tanpa ibu dan orang utan yang diselamatkan.
Diuruskan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah, pusat itu memainkan peranan penting dalam memelihara hidupan liar di hutan simpan berkenaan bukan sahaja dari aspek pemulihan malah memberi pendidikan dan kesedaran masyarakat mengenai khazanah alam Sabah itu.
Di Beluran, Al-Sultan Abdullah dijadual mendengar taklimat daripada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengenai pelaksanaan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan meninjau stesen minyak Petronas Batu 32 di Jalan Lintas Labuk.
Pada 20 Ogos lepas, Nanta dilaporkan berkata 15 pakej Fasa 1 projek lebuh raya itu kini pada peringkat 82 peratus siap dan pakej tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Januari tahun depan.
-- BERNAMA
#Kembara Kenali Borneo
#Yang di-Pertuan Agong
#Raja Permaisuri Agong
#Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok
#Sabah