Kembara JOM platform dapatkan maklum balas, pandangan belia
Bernama
Februari 17, 2024 07:00 MYT
Februari 17, 2024 07:00 MYT
MELAKA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggerakkan Program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) sebagai platform mendapatkan maklum balas serta pandangan terhadap Pelan Transisi Kepimpinan Belia di negara ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata ia juga adalah program dua dalam satu iaitu meraikan aktiviti, mempromosi gaya hidup Rakan Muda selain sesi temu rapat bersama pertubuhan belia sempena proses transisi umur belia.
"Kita akan adakan Kembara JOM ini di setiap negeri bermula di Melaka hingga ke Sabah dan Sarawak dan di sana, program ini akan diadakan selama seminggu untuk kita pergi juga ke kawasan pedalaman bertemu komuniti orang muda.
"Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh juga telah menyatakan komitmen untuk kita rapatkan hubungan kementerian bersama orang muda yang merupakan pemegang taruh terbesar supaya kita ada interaksi dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kembara JOM yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Mohd Azhari Mohammad.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata pihaknya menyasar untuk menyelesaikan program itu secepat mungkin bagi menjadikan ia sebagai rumusan dasar yang akan dilaksana selepas ini menerusi input yang diperoleh.
"Selain sesi temu rapat, terdapat reruai seperti Rakan Muda, Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara serta kaunter lain untuk kita ambil pungutan suara dan pendapat mereka supaya kita boleh rumus apakah dasar dan program yang boleh dilakukan.
"Ini juga adalah sebagai hala tuju sebelum diadakan Sambutan Hari Belia Negara dan sebelum Mei, kita harap dapat selesaikan Kembara JOM ini yang akan diatur mengikut kesesuaian masa," katanya sambil menambah Melaka bakal menjadi tuan rumah penganjuran Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 peringkat kebangsaan pada 25 Mei depan yang turut diadakan serentak di negeri-negeri lain.
"Sasaran HBN 2024 ini kita letakkan tinggi dengan penyertaan sejuta orang di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata Kembara JOM juga membolehkan pemegang taruh belia menyampaikan maklum balas serta pandangan terhadap draf pelan secara terus kepada kepimpinan tertinggi KBS dan ia akan diguna untuk memuktamad pelan yang bakal menjadi pemacu pelaksanaan pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).
-- BERNAMA