Kembara Inspirasi Haji jadi tarikan di China

Bernama
Julai 29, 2017 10:17 MYT
Pasangan dalam Kembara Inspirasi Haji ke Tanah Suci, Jasmi Jantan dan isteri Zuraini Abdul Malek mahu perjalanan mereka menjadi inspirasi kepada pasangan lain untuk melakukan kerja amal sejauh mana mereka berada. --fotoBERNAMA
Setiap kali dua kenderaan yang membawa lapan peserta Kembara Inspirasi Haji melalui jalan bandar di wilayah Yunan, Sichuan dan Gansu di China, mereka pastinya menjadi perhatian penduduk setempat.
Malah, ada yang sanggup memberhentikan kereta semata-mata untuk menyapa peserta kembara dan bertanyakan mengenai kehadiran mereka.
Tarikan itu berikutan kedua-dua kenderaan dipenuhi pelekat logo penaja serta peta laluan negara-negara yang dilalui sepanjang pengembaraan mereka ke Tanah Suci.
Ada juga penduduk yang mengerumuni kedua-dua kenderaan untuk melihat sendiri peta perjalanan dan logo-logo penaja itu.
Ramai yang begitu tertarik dengan kehadiran peserta kembara kerana amat jarang sekali mereka menerima warga asing melintasi kampung dan bandar mereka.
Bagaimanapun, masalah komunikasi menjadi penghalang kepada peserta kembara yang tidak tahu berbahasa Mandarin dan penduduk di situ yang tidak fasih berbahasa Inggeris menyebabkan sukar untuk menyampaikan maklumat mengenai pengembaraan itu.
Peserta kembara terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk menyampaikan maksud dan ada yang menggunakan telefon bimbit untuk membuat rujukan bahasa Mandarin menerusi Internet.
Bagaimanapun, kehadiran seorang pegawai pelancong China, Andy Yuan, menjadi penghubung antara penduduk dan peserta yang begitu ghairah untuk menyampaikan maklumat mengenai pengembaraan mereka yang melibatkan perjalanan 16,000km.
Setakat ini, mereka sudah melakukan perjalanan sejauh lebih 6,000km melintasi Thailand, Laos serta wilayah Yunan, Sichuan dan Gansu di China. Mereka akan berada di China sembilan hari lagi.
Menurut Pengarah Projek Kembara Inspirasi Haji, Khir Ariffin, sambutan daripada masyarakat China menunjukkan mereka amat berminat untuk mengetahui tentang kembara berkenaan.
"Kita rasa amat bangga kerana warga China sama ada mereka beragama Islam atau tidak, menunjukkan minat terhadap pengembaraan kita," katanya.
Destinasi peserta kembara seterusnya ialah di Lanzhou, bandar utama dalam laluan sutera di wilayah Gansu dan di sana nanti mereka akan menziarahi komuniti Islam dan masjid atas air serta masjid Xiguan berusia 649 tahun.
-- BERNAMA
#China #Kembara Inspirasi Haji #Khir Ariffin
;