Kembar ditahan miliki pistol dengan alasan untuk tembak cicak

Astro Awani
Ogos 14, 2017 16:03 MYT
Polis memberitahu, pistol angin menyerupai pistol sebenar itu ditemui di bawah bantal di dalam bilik salah seorang kembar berkenaan. - Astro AWANI
Dua beradik kembar yang bekerja sebagai pembantu kedai di tahan kerana memiliki sepucuk pistol angin berserta sebotol peluru plastik dengan alasan ia digunakan untuk menembak cicak.
Pistol angin menyerupai pistol sebenar itu ditemui di bawah bantal di dalam bilik salah seorang kembar berkenaan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Ibrahim Saad berkata dua beradik kembar berusia 29 tahun dari Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang itu, di tahan dalam satu serbuan pihak polis dirumahnya malam tadi.
Beliau berkata pihaknya akan membuat siasatan lanjut untuk mengesan samada pistol berkenaan digunakan untuk tujuan jenayah.
Katanya dalam serbuan tersebut pihaknya turut merampas pelbagai jenis senjata tajam termasuk pedang, lima bilah pisau pelbagai bentuk dan sebilah kerambit.
Kes di siasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Merbahaya 1958 yang boleh membawa hukuman penjara dan juga denda.
Ujian air kencing ke atas dua beradik berkenaan turut positif dadah jenis Meth.
Menurut Ibrahim lagi, pistol angin mudah diperolehi dari negara jiran dengan harga dari 450 hingga 500 ringgit dan ianya menyerupai senjata sebenar.
Justeru itu beliau menasihati penduduk dan juga pelancong luar Kelantan supaya tidak membeli senjata jenis berkenaan yang mudah diperolehi sekitar Rantau Panjang dan juga Sungai Golok, Selatan Thailand kerana ianya satu kesalahan.
#cicak #Ibrahim Saad #kembar #pistol #tembak cicak
;