Kembang perniagaan melalui Francais Mikro dan Mampu Milik - KPDNHEP

Astro Awani
Mac 9, 2021 22:29 MYT
Rosol (tengah) meninjau operasi kiosk francais CheeseU di perkarangan Kementerian Kewangan, Putrajaya. - Foto KPDNHEP
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyeru dan menggalakkan lebih ramai pemilik perniagaan untuk mengembangkan perniagaan mereka menerusi model Francais Mikro dan Mampu Milik.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata konsep Francais Mikro dan Mampu Milik yang sedang rancak dipromosikan KPDNHEP bukan sahaja memberi peluang peniaga mengembangkan perniagaan, tetapi juga dapat melahirkan lebih ramai usahawan francais khususnya dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, pada masa sama kementerian juga menyeru usahawan francais (francaisor) sedia ada untuk memperkenalkan pakej francais baharu yang mengenakan modal permulaan dan kos pakej francais yang lebih rendah, dalam usaha menggalakkan lebih ramai anak muda serta golongan M40 dan B40 menceburi perniagaan francais.
Beliau berkata, KPDNHEP serius dalam usaha membangun serta memajukan perniagaan francais di negara ini terutama model Francais Mikro dan Mampu Milik yang melibatkan modal permulaan dan kos pakej francais yang lebih rendah iaitu di bawah RM100,000 (francais mampu milik) dan RM50,000 (francais mikro).
Mengulas lanjut Rosol berkata, KPDNHEP memperuntukkan RM5 juta tahun ini untuk melaksanakan pelbagai Program Pembangunan Francais Mikro dan Mampu Milik antaranya seperti latihan, advokasi dan khidmat nasihat yang diperlukan francaisor dan francaisi.
“Setakat ini sudah ada beberapa jenama perniagaan popular yang datang kepada kita untuk melebarkan lagi sayap perniagaan menerusi model Francais Mikro dan Mampu Milik ini antaranya seperti CheeseU, Putu Bambu World, Dapur Penyet dan Kopi Satu.
“KPDNHEP mengalu-alukan lebih banyak perniagaan untuk melebarkan dominasi perniagaan mereka menerusi model Francais Mikro dan Mampu Milik ini yang dalam masa sama dapat membuka peluang terutama kepada generasi muda untuk menjadikan perniagaan francais sebagai cabang pulangan ekonomi buat mereka.
“Dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19 ini, ramai yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Jadi dengan usaha merancakkan model perniagaan Francais Mikro dan Mampu Milik ini, ia dapat membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada anak muda serta golongan M40 dan B40.
“Kementerian juga sedar akan bebanan modal permulaan serta kos pakej francais yang tinggi sebelum ini. Sebab itu kita giat mempromosikan Francais Mikro dan Mampu Milik ini untuk memastikan perniagaan sedia ada semakin berkembang dan peluang perniagaan dan pekerjaan semakin meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi kiosk francais CheeseU di perkarangan Kementerian Kewangan, Putrajaya, iaitu kiosk pertama bagi jenama perniagaan tersebut di bawah program Francais Mikro dan Mampu Milik dengan kos di bawah RM100,000.
Kioks ini adalah hasil kerjasama erat KPDNHEP dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) di bawah Program Pembangunan Usahawan Anak Muda yang dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dr Alauddin Sidal dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr Radzali Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif CheeseU, Thomas Ang.
#pandemik #COVID-19 #Malaysia #operasi #ekonomi #usahawan #francais #Rosol Wahid #KPDNHEP #Francais Mikro #mampu milik
;