Kembalikan semua kuasa semak dan imbang kepada Parlimen - Shafie, Syed Saddiq

Astro Awani
April 2, 2021 20:29 MYT
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman menyifatkan tindakan itu sangat tidak bertanggungjawab. - Gambar fail
AHLI Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman menyeru Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memikirkan semula Ordinan Baharu dan segera mengembalikan semua kuasa semak dan imbang kepada Parlimen.
Kedua-dua ahli Parlimen itu menyifatkan tindakan itu lebih dari permainan politik dan akan menimbulkan tauladan atau tanggapan yang tidak baik pada institusi demokrasi negara.
Ordinan baharu yang diluluskan dan dikeluarkan pada Khamis itu membenarkan Perdana Menteri, Ketua Menteri atau Menteri Besar untuk meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui perbahasan dan kelulusan Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
“Tindakan itu sangat tidak bertanggungjawab, malah ia menggantung Perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Perenggan 2(2)(b) Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946 berkaitan kuasa Dewan Rakyat berhubung soal kewangan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
BACA: Ordinan baharu beri kuasa kerajaan guna dana tanpa kelulusan wakil rakyat dalam tempoh darurat
Mereka pada masa sama menyifatkan alasan Ordinan Darurat itu perlu di laksanakan demi memerangi penularan pandemik COVID-19 sebagai tidak masuk akal.
Tambahnya, sekiranya kerajaan Perikatan Nasional berasakan Belanjawan yang dibentangkan sebelum ini tidak mencukupi, mereka mencadangkan supaya melaksanakan langkah penjimatan dengan mengurangkan jumlah Menteri dan Timbalan Menteri yang disifatkan terlalu ramai.
“Mulakanlah dengan memecat timbalan menteri yang lari dari negaranya sendiri selama berbulan-bulan lamanya sambil memakan duit rakyat tanpa sebarang rasa bersalah. Kepimpinan melalui tauladan, tapi biarlah tauladan yang baik,” tambah mereka lagi.
#Shafie Apdal #Mohd Shafie Apdal #Dewan Rakyat #Menteri Besar #Ketua Menteri #Semporna #Muar #Perdana Menteri #Parlimen #politik #kerajaan #rakyat #menteri #COVID-19
;