Kembalikan masjid sebagai pusat kecemerlangan ilmu - TPM

Astro Awani
Jun 17, 2023 06:30 MYT
Fadillah melawat sekitar pameran yang diadakan sempena sambutan Peringatan Haul 105 Tahun Shaykh Uthman Sarawak di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, Kuching, malam tadi. - Facebook Fadillah Yusof
KUCHING: Institusi masjid disaran memainkan peranan sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang merangkumi semua aspek, dunia dan akhirat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia membolehkan proses pembelajaran komuniti dilaksanakan, sekali gus mengembangkan syiar Islam, di samping peranan asal sebagai rumah ibadah.
“Seringkali saya katakan, bukan sahaja dalam konteks ilmu agama, fiqah, tauhid, usuluddin, tasawuf tetapi yang utama juga bagaimana kita hendak kembangkan ilmu keduniaan.
“Kalau kita hendak berjaya dalam dunia kita kena ada ilmu dunia, kalau hendak berjaya di akhirat, kena ada ilmu akhirat, kalau hendak berjaya di keduanya kita kena ada ilmu dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peringatan Haul 105 Tahun Shaykh Uthman Sarawak di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, di sini, malam tadi.
Katanya, pelbagai bidang pelajaran dan teknologi sebelum ini dipelopori oleh ilmuan Islam dengan cemerlang sehingga dapat menguasai dunia.
“Untuk itu, saya mahu membawa kita bersama-sama untuk berjuang bagaimana kita hendak menjadikan masjid sebagai pusat kecemerlangan Islam bermula dengan diri kita.
“Hadir ke masjid bukan sahaja untuk sembahyang tetapi untuk kita belajar tentang ilmu. Bersama kita kembangkan ilmu dan disebarkan kepada keseluruhan masyarakat di negeri Sarawak, kerana ia bukan tanggungjawab ulama semata-mata tetapi tanggungjawab kita,” ujarnya.
Selari dengan hasratnya untuk menjadikan tapak lama Masjid Ikhwanul Islam sebagai pusat kecemerlangan Islam di Kuching, beliau berharap ia dapat direalisasikan, sekali gus melahirkan lebih ramai para ilmuan dalam konteks agama yang merangkumi keseluruhan aspek ilmu dunia dan akhirat.
#Fadillah Yusof #masjid #pusat kecemerlangan ilmu #ilmuan islam
;