Kembali kepada Rukun Negara - Kurup
Bernama
Februari 9, 2014 09:11 MYT
Februari 9, 2014 09:11 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup meminta rakyat supaya kembali kepada Rukun Negara sebagai mengingati sumbangan dan perjuangan nenek moyang mereka dalam memastikan perpaduan negara dipelihara.
Beliau berkata Rukun Negara adalah jenama Malaysia bagi perpaduan nasional dan ia merupakan tanda evolusi rakyat sebagai sebuah negara.
"Dalam masa 56 tahun kenegaraan, kita sedang menyaksikan kemerosotan dramatik dalam kesederhanaan budaya apabila tidak mengendahkan kontrak sosial, satu kompromi yang dihormati oleh kalangan bapa pengasas kita, yang bukan sahaja melumpuhkan negara malah menjadi 'medan subur' untuk mengembangkan ekstremisme, radikalisme dan fanatisisme.
"Kita perlu hentikan individu dan kumpulan tidak siuman ini daripada mengeksploitasikan salah faham dan kesilapan lampau kita. Kita tidak boleh membiarkan mereka merampas perpaduan kita, keamanan kita dan masa depan kita," katanya pada jamuan malam anjuran kerajaan negeri Sabah sempena Minggu Harmoni Antara Agama Dunia 2014 di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid.
Kurup, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Kefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama, berkata semua pihak bertanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan, kemajuan serta perpaduan Malaysia.
Katanya perpaduan negara adalah amat berharga, yang tanpanya, kemajuan sukar dikecapi.
"Sudah tiba masanya kita berhenti menyalahkan pihak lain dan sebaliknya, cuba melakukan perbezaan dalam masyarakat kita," katanya.
Menurutnya kepentingan diri tidak harus mengatasi kepentingan negara dan rakyat perlu belajar untuk memaafkan dan melupakan selain pragmatik dalam mencari penyelesaian yang memanfaatkan kedua-dua pihak.
"Selagi rakyat Malaysia terus mendukung sikap saling menghormati, bertolak ansur dan bersederhana, tidak ada pihak yang mampu memecahbelahkan kita," kata Kurup.