Kembali kepada Islam adalah penyelesaian isu perpaduan kaum - Penganalisis
Astro Awani
April 4, 2024 23:15 MYT
April 4, 2024 23:15 MYT
KUALA LUMPUR: Isu stoking tertera kalimah Allah hingga membawa insiden melontar molotov cocktail ke beberapa cawangan kedai serbaneka menimbulkan persoalan adakah itu yang kita mahukan dalam sebuah negara yang berbilang kaum.
Insiden yang berlaku dalam bulan Ramadan ini juga memberikan gambaran bahawa terdapat perbezaan pandangan yang gagal kita uruskan dengan baik sehingga membenihkan keganasan.
Bagi Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia UNSDSN, Universiti Sunway, Prof Wong Chin Huat berpendapat adalah normal untuk setiap manusia membuat kesalahan.
Kesalahan itu jelas beliau, kadangkala ia hanya kekhilafan yang tidak disengajakan namun ia juga boleh membawa kepada kejahatan.
Beliau menegaskan untuk mengatasi perkara ini, cara yang paling berkesan adalah untuk kembali kepada Islam.
"Kerana dalam Islam ada banyak kelebihan warisan yang menekankan keamanan, menekankan kebergantungan sesama lain, menekankan pengiktirafan dan penghayatan perbezaan.
"Saya bertuah ramai kawan saya yang mengajar tentang keindahan Islam, contohnya Surah al-Hujurat ayat 13 menyebut, 'telah dijadikan lelaki dan perempuan, berbagai kaum untuk kita saling kenal mengenali'.
"Kalau kita dapat terapkan dan perluaskan amalan memohon maaf bila buat salah dan memaafkan bila kesalahan itu tidak disengajakan kita akan selamat dan aman," katanya dalam rancangan Dialog Tiga Penjuru.
Ketua Pegawai Eksekutif Womentum & Ministry of Marketing Asia, Niney Chong juga senada dengan Chin Huat tentang kelebihan Islam.
"Islam ini adalah agama yang menekankan tentang keamanan, dan begitu juga dengan agama-agama lain.
"Saya bukan mahu meletakkan diri saya sebagai seorang agamawan tetapi apa yang saya faham tentang Islam, agama saya sendiri, adalah Islam adalah satu agama yang menekankan kasih sayang.
"Islam juga mengajar untuk kita semua saling memahami agar tidak timbul persengketaan antara yang lain," katanya.
Sementara bagi Penolong Profesor ISTAC-IIUM, Dr Ahmad El-Muhammady, perbezaan pandangan dalam apa-apa perkara itu merupakan satu perkara yang biasa dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, perbezaan pandangan itu juga kadang kala terkait dengan isu-isu sensitif dan ia merupakan satu ujian untuk melihat sejauhmana kita mampu mengurus perkara tersebut.
"Tindakan sedemikian itu sudah tentunya bukan saja bertentangan dengan undang-undang tetapi juga dengan nilai-nilai agama, dan juga nilai-nilai budaya kita.
"Sudah tentu di bulan Ramadan ini sudah tentu kita untuk mengawal kata-kata tetapi juga tindakan, jadi bila ada orang yang bertindak sedemikian kita boleh kata mereka ini pelampau agama dan ini bukan DNA budaya kita dan bukan DNA agama," jelas beliau.
Isu-isu yang berbangkit mutakhir ini mendesak rakyat Malaysia kini tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan fahaman politik adalah memastikan keharmonian kaum dan agama kekal utuh.
Perkara itu hanya boleh dicapai jika semua pihak menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.
#Islam
#kedamaian
#keharmonian
#perpaduan
#tolak ansur
#kasih sayang
#kaum
#agama
#keganasan
#Pelampau