Kematian Zolkples tiada unsur jenayah - Polis

Sinar Harian
Oktober 3, 2021 14:14 MYT
Polis mengesahkan tiada unsur jenayah melibatkan kematian bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang ditemui di kediamannya di sini pada pagi Ahad.
KAJANG: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah melibatkan kematian bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang ditemui di kediamannya di sini pada pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pemeriksaan di tempat kejadian dan tubuh badan mangsa tidak menjumpai sebarang unsur jenayah.
"Tiada sebarang kesan pecah masuk atau pergelutan ditemui di tempat kejadian.
"Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
BACA: Bekas Ketua Pengarah MSN Zolkples Embong meninggal dunia
Beliau berkata, siasatan awal mendapati Allahyarham tinggal di rumah seorang diri dan tidak pernah berkahwin.
"Waris terdekat yang membuat laporan merupakan anak saudara kepada arwah.
"Menurut keluarga, Allahyarham pernah membuat pembedahan jantung kira-kira 10 tahun lalu dan tidak pernah membuat sebarang rawatan susulan selepas itu," jelas beliau.
Mohamad Farouk berkata ujian saringan COVID-19 Allahyarham sebelum ini juga negatif.
"Menurut keluarga, kali terakhir Allahyarham membuat ujian saringan COVID-19 ialah pada Jumaat lalu dan keputusannya adalah negatif," katanya.
Kematian Zolkples, 62, disedari beberapa pegawai MSN yang gagal menghubunginya sejak Jumaat lalu apabila mendapati Allahyarham tidak hadir solat Jumaat di Vista MSN, Bukit Jalil.
Difahamkan, beberapa pegawai MSN telah pergi ke rumah Allahyarham pada pagi Ahad dan mendapati pintu rumahnya berkunci.
Dengan bantuan pihak polis dan bomba, pintu rumah berkenaan berjaya dibuka sebelum Allahyarham ditemui terbaring di ruang dapur dan disahkan telah meninggal dunia.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Sri Petaling di sini untuk pengurusan jenazah untuk dikebumikan di Kampung Sura, Dungun, Terengganu.
BACA: Jenazah Zolkples akan dikebumi di Dungun, Terengganu
*Berita asal di Sinar Harian
#Zolkples Embong #bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara #MSN #tiada unsur jenayah
;