Warga emas ditemui terbakar mati akibat hentakan objek tumpul, sedutan asap

Adie Sufian Zulkefli
Mac 4, 2025 14:00 MYT
Siti Nor Salawati (gambar kecil) berkata punca kematian itu diperoleh hasil daripada bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah. - Gambar/ PDRM
ALOR SETAR: Punca kematian wanita warga emas yang ditemui terbakar dipercayai dibunuh anaknya pada Ahad lalu, disebabkan oleh hentakan objek tumpul di kepala serta sedutan asap kebakaran.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata punca kematian itu diperoleh hasil daripada bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah di sini.
"Polis telah merampas satu tukul besi serta sehelai kain pelikat. Jenis bahan bakar yang digunakan pula hanya dapat dipastikan setelah laporan kriminalistik diperoleh daripada Jabatan Kimia.
"Sampel dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan toksikologi manakala barang kes pula dihantar ke Jabatan Kimia Kedah untuk kriminalistik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan seorang wanita berusia 68 tahun ditemukan maut dengan kesan terbakar, dipercayai dibunuh anak lelakinya berusia 43 tahun yang memiliki kad orang kurang upaya (OKU) mental, selepas mereka bertengkar.
Lelaki itu telah direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#bunuh ibu #bakar ibu #Kedah #punca kematian
;