Kematian Sugumar: Badan siasatan bebas mungkin ditubuh

Astro Awani
Januari 25, 2013 15:21 MYT
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak menolak penubuhan badan siasatan bebas untuk menyiasat kes kematian C. Sugumar, 40, yang meninggal dunia, dipercayai dibelasah oleh orang ramai pada Rabu lalu.
Beliau menegaskan Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Abdul Rashid Abdul Wahab tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada siasatan polis akan dibuat atau tidak keatas kematian Sugumar.
"Itu bukan kuasa beliau untuk membuat kenyataan. Itu kuasa pihak yang lebih tinggi. Kita akan lihat apa hasil siasatan," katanya dalam satu sidang media hari ini.
Semalam Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata tiada penyiasatan polis akan dilancarkan ke dalam kematian Sugumar selepas bedah siasat kedua menunjukkan bahawa mangsa telah meninggal dunia akibat serangan jantung.
Hishammuddin bagaimanapun enggan memberi sebarang komen apakah perlu ditubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) atas kes ini.
Sementara itu Keluarga C. Sugumar menolak keputusan bedah siasat yang menunjukkan mangsa mati akibat masalah jantung.
Mereka mahu bedah siasat kedua dilakukan.
“Sugumar hanya berumur 40 tahun dan tiada masalah kesihatan. Kami sangat hairan bagaimana seseorang yang sihat tiba-tiba boleh tumbang dan mati setelah ditahan polis,” kata peguam keluarga mangsa, N. Surendran dan Latheefa Koya dalam kenyataan bersama.
Menurut mereka, mayat itu masih bergari dan ada kesan serbuk kunyit pada mukanya.
Mereka juga mendakwa ada kesan luka pada mangsa
Proses bedah siasat yang dijalankan pada Rabu malam turut mendapati tiada kesan lebam yang serius pada badan mangsa selain daripada kesan lebam kecil pada salah satu lutut dan lengan.
Polis menafikan ada sebarang perbuatan salah laku yang boleh menyebabkan kematian Sugumar.
“Keputusan bedah siasat menujukkan mangsa mempunyai jantung tersumbat (penyakit arteri koronari). Tiada kecederaan lain," kata Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab.
Polis juga berkata mangsa jatuh ke dalam longkang semasa kekecohan tersebut dan memerlukan bantuan polis. Polis bagaimana pun akan memohon satu inkues dijalankan bagi menentukan kematian Sugumar.
Pada Rabu, Sugumar dikatakan telah mengamuk di hadapan sebuah kedai di Taman Pekaka, Hulu Langat.
Menurut polis, dia sebelum itu berjalan selama kira-kira 2 kilometer dari Dusun Nanding.
Saksi mendakwa sekumpulan lebih 20 orang menyerangnya dan empat anggota polis didakwa menggari dan menyerang Sugumar dalam kekecohan tersebut.
Seorang anggota polis juga didakwa melemparkan serbuk kunyit ke arah mangsa semasa pergelutan itu.
Sugumar meninggal dunia sebelum polis sempat membawanya ke stesen polis.
Pada Khamis, rakan-rakan dan keluarga Sugumar berkumpul di luar Hospital Serdang tempat mayat Sugumar disimpan.
Peguam mendakwa keluarga telah dilarang melihat mayat Sugumar lebih daripada empat jam.
#bedah siasat #Hishammuddin #Sugumar
;