Kematian pengasas Dnars: Polis mohon bantuan polis Thailand, Interpol

Muhafandi Muhamad
Jun 20, 2022 13:46 MYT
Faziani bersama bekas suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim dalam perjalanan ke sebuah pondok pengajian agama di Selatan Thailand sebelum terbabit kemalangan pada 2019. - Gambar fail
KOTA BHARU: Polis Kelantan akan mendapatkan maklumat terperinci dari pihak polis Thailand dan juga Interpol bagi membantu siasatan susulan laporan polis yang dibuat ahli keluarga pengasas produk kecantikan, Dnars Skincare (Dnars) Allahyarham Faziani Rohban Ahmad yang maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di Pattani, Thailand pada 2019.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan pihaknya menjurus kepada laporan yang mengaitkan beberapa individu dan yang bersifat andaian.
“Bila dibuat laporan kita akan ambil keterangan, nak tahu apa sebenarnya laporan itu tetapi untuk siasatan, apa yang dipertikaikan? Apa yang berlaku semasa kejadian? Bagaimana masuk ke sana dan sebagainya, kita hantar ke Wisma Putra dan Interpol. Setakat ini kita belum menerima apa apa lagi, tetapi dalaman kita akan lihat individu mana yang disebut itu dan kita juga boleh bantu jiran kita di sana.
“Apa yang boleh kita buat di sini, kita akan buat siasatan menyeluruh, mereka yang disebut dalam laporan tersebut. Setakat ini kita tiada sesuatu pengesahan apan yang didakwa dan laporan dibuat berdasarkan andaian dan cakap-cakap ahli keluarga tetapi faktanya kita akan sahkan kemudian.
“Pihak polis memohon ruang untuk menjalankan siasatan secara terperinci bagi mencari keadilan untuk kedua-dua belah pihak” katanya di sini hari ini.
Jelas Muhamad Zaki, kemalangan yang mengorbankan nyawa Faziani berlaku di negara jiran yang mana siasatan kemalangan itu dijalankan oleh pihak polis negara jiran.
Bagaimana pun, polis Kelantan akan mendapatkan kerjasama dari Wisma Putra, Interpol dan pihak polis Thailand bagi siasatan yang dijalankan selepas menerima laporan yang dibuat oleh ahli keluarga mangsa.
Keluarga usahawan itu tampil membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah Tumpat pada 16 Jun lepas.
BACA: Keluarga meragui kematian pengasas produk Dnars Skincare
Laporan yang dibuat keluarga Allahyarham Faziani, selepas keluarganya mendakwa terdapat perkara yang mencurigakan dalam kemalangan tersebut.
Faziani bersama bekas suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim dalam perjalanan ke sebuah pondok pengajian agama di Selatan Thailand bagi menyumbangkan sumbangan pada bulan Ramadan, Mei 2019.
Bagaimana pun kenderaan pelbagai guna Toyota Estima yang dinaiki pasangan itu merempuh sebuah lori yang di parkir di sebatang jalan menyebabkan, Faziani maut di tempat kejadian, manakala Ahmad Shah Rizal mengalami kecederaan.
Pengasas Dnars | 'Urusan jenazah tidak ikut prosedur' – Keluarga
#Dnars Skincare #kematian #Faziani Rohban Ahmad #kemalangan #Thailand #Interpol
;