Kematian pelajar tahfiz: Polis Johor tunggu arahan lanjut Timbalan Pendakwa Raya
Astro Awani
Julai 10, 2017 18:27 MYT
Julai 10, 2017 18:27 MYT
Polis Johor akan mengemaskini kertas siasatan bagi mendapatkan arahan lanjut dari Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, pada 26 April lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata ia dibuat berdasarkan laporan perubatan yang dikeluarkan menerusi kenyataan akhbar, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah pada 5 Julai lepas.
Menurut laporan perubatan itu, hasil keputusan bedah siasat yang dijalankan didapati pelajar tahfiz tersebut meninggal dunia disebabkan oleh penyakit dan bukannya trauma atau kecederaan seperti yang ditularkan.
Penyebab kematian adalah Leptospirosis (kencing tikus) dan dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi)di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit dan seterusnya melibatkan kegagalan organ untuk berfungsi.
Kedua-dua belah kaki Mohamad Thaqif Amin sebelum ini terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman yang didakwa kesan dipukul pembantu warden asrama sekolah tahfiz berkenaan.
Allahyarham dimasukkan ke hospital selepas kesihatannya merosot setelah dibawa keluar dari sekolah tahfiz di Kota Tinggi tersebut pada 31 Mac sebelum meninggal dunia pada 26 April lalu.
Susulan kes itu polis menahan pembantu warden lelaki berusia 29 tahun tersebut untuk membantu siasatan, bagaimanapun dia dibebaskan pada 3 Mei lalu dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM20,000.
#Kamarul Zaman Mamat
#kencing tikus
#meninggal dunia
#Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi
#Noor Hisham Abdullah
#pelajar
#polis johor
#tahfiz