Kematian Nora Anne Quoirin disebabkan nahas, tiada siapa terlibat

Astro Awani
Januari 4, 2021 13:18 MYT
Mahkamah mendapati kematian Nora Anne disebabkan nahas dan tiada penglibatan pihak ketiga. - Gambar fail
SEREMBAN: Mahkamah Koroner di sini hari ini menutup prosiding inkues kematian remaja perempuan Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin.
Koroner Maimoonah Aid ketika membacakan keputusan itu berkata, mahkamah mendapati tiada penglibatan pihak ketiga dalam kematian remaja itu.
"Selepas meneliti bukti-bukti yang dikemukakan, mahkamah mendapati kematian Nora Anne disebabkan nahas dan tiada penglibatan pihak ketiga.
"Kematian mendiang adalah akibat peristiwa malang (misadventure) apabila gadis itu keluar dari rumah Sora dan kemudian tersesat di kawasan ladang kelapa sawit.
"Dia mungkin meninggal dunia akibat misadventure, dia telah keluar sendiri dari rumah Sora kemudiannya sesat dalam ladang kelapa sawit, berhampiran lokasi keluarga mendiang tinggal. Jadi, inkuari ini ditutup," katanya di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Maimoonah turut memberitahu, adalah tidak berasas untuk beliau membuat sebarang spekulasi penglibatan pihak ketiga tanpa fakta atau bukti yang kukuh.
"Ini akan menjadi pelanggaran kepada tugas saya," katanya.
TONTON: KEPUTUSAN INKUES NORA ANNE QUOIRIN
Prosiding inkues kes kematian remaja perempuan yang dijalankan sejak 24 Ogos hingga 10 Disember lalu, membabitkan 47 saksi termasuk ibu bapa remaja berkenaan, Meabh Jaseprine Quoirin dan Sebastien Quoirin.
Ia turut disiarkan secara langsung dalam talian melalui portal rasmi Badan Kehakiman Malaysia dan media sosial rasmi YouTube dan Facebook 'The Malaysian Judiciary' serta dikendalikan dalam bahasa Inggeris.
Pada prosiding itu, Muhamad Iskandar Ahmad dan Ahmad Sazali Omar mengetuai barisan Timbalan Pendakwa Raya selaku pegawai pengendali inkues bersama tiga yang lain iaitu Nuralis Mat, Nurhafizah Haron dan Nur'atiqah Sapari.
Peguam Sakthyvell pula mengetuai barisan peguam keluarga bersama Louise Azmi dan Lydia Ng Huey Mei manakala The Dusun Resort diwakili peguam Alliff Benjamin Suhaimi dan Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.
Inkues ditutup, tiada penglibatan pihak ketiga
Nora Anne, 15, didapati hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini.
Pada 13 Ogos 2019 iaitu 10 hari selepas Nora Anne dilaporkan hilang, mayatnya ditemui berhampiran sebatang anak sungai di sebuah lurah yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari pusat peranginan yang didiami dia dan keluarganya, susulan operasi pencarian besar-besaran oleh pihak berwajib.
Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja itu yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya, tidak mempunyai unsur jenayah dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan usus yang disebabkan kebuluran serta tekanan berpanjangan.
[INFOGRAFIK] Kronologi kematian Nora Anne Quoirin
#Nora Anne Quoirin #inkues #mahkamah koroner #Seremban #hilang #meninggal dunia #jenayah
;