Kematian Mohammad Aimin: Cemburu dipercayai punca pergaduhan

Bernama
November 9, 2019 18:13 MYT
Pelajar pusat tahfiz Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, maut dengan kesan lebam dibadan dan dihantar ke Hospital Temerloh untuk bedah siasat hari ini. - Foto BERNAMA
Cemburu dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan pelajar sebuah pusat tahfiz di Lanchang, Temerloh dekat sini, yang berakhir dengan kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun, Mohammad Aimin Nurul Amin pada Khamis lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata mangsa, yang baru belajar di situ mulai pertengahan Oktober lalu difahamkan mendapat lebih perhatian daripada pasangan suami isteri yang mengusahakan pusat tahfiz berkenaan.
"Mangsa yang merupakan pelajar paling muda di situ juga difahamkan agak mesra dan manja dengan pasangan tersebut sehingga dipercayai menimbulkan perasaan cemburu dalam kalangan pelajar lain yang membawa kepada pergaduhan," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Abd Jalil berkata bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh semalam, mengesahkan punca kematian Mohammad Aimin adalah disebabkan trauma pada dada dan abdomen oleh permukaan atau objek tumpul.
Beliau memaklumkan tiga pelajar pusat tahfiz berusia 13 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kematian Mohammad Aimin, kini direman sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
BACA: Kes pelajar pusat tahfiz maut: Tiga remaja direman sehingga Khamis
BACA: Pelajar tahfiz maut dengan kesan lebam pada badan
BACA: 'Tengkuk, kaki Mohammad Aimin sejuk' - Warden asrama tahfiz
Media semalam, melaporkan kematian Mohammad Aimin yang disahkan meninggal dunia sekitar 1.20 tengah hari Khamis, semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang di Temerloh.
Mohammad Aimin dibawa ke klinik itu oleh isteri pengusaha pusat tahfiz berkenaan, yang menemui mangsa dalam keadaan lemah di asrama, selepas menyedari mangsa tidak bersama pelajar lain ke masjid bagi menunaikan solat zuhur.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam pada tubuh mangsa, yang difahamkan dihantar ke pusat tahfiz itu bersama abang tirinya.
Pusat tahfiz yang terletak di Kampung Kuala Kaung, Lanchang itu difahamkan mula beroperasi sejak awal tahun lepas dan tidak pernah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan setakat ini mempunyai 14 pelajar, dengan hanya empat daripadanya menetap di asrama.
-- BERNAMA
#cemburu #kematian kanak-kanak #Lanchang #Mohammad Aimin Nurul Amin #pelajar tahfiz maut #Polis Pahang #punca pergaduhan #Seksyen 302 Kanun Keseksaan
;