Kematian Kim Jong-nam: Kedutaan Indonesia belum dapat kebenaran jumpa Siti Aishah
Bernama
Februari 17, 2017 20:36 MYT
Februari 17, 2017 20:36 MYT
Kedutaan Besar Republik Indonesia di sini belum mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Malaysia untuk berjumpa dengan seorang wanita pemegang pasport negara itu, Siti Aishah yang kini ditahan bagi membantu siasatan kes kematian Kim Jong-nam Isnin lepas.
Timbalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Andriano Erwin berkata pihaknya masih menunggu maklum balas dan kebenaran polis untuk berinteraksi dan menyemak identiti wanita itu yang dikaitkan dengan pembunuhan abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.
"Kedutaan sudah menghantar surat permohonan untuk berjumpa wanita itu kepada Wisma Putra tetapi kami masih belum mendapat kebenaran kerana siasatan polis masih berjalan.
Wisma Putra memberitahu, polis Malaysia ingin jalankan dan lengkapkan siasatan terlebih dahulu sebelum wanita itu dibenarkan berjumpa dengan siapa-siapa termasuk (pihak) kedutaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dilapor, identiti lelaki yang mati itu, yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, disahkan secara rasmi sebagai Jong-nam oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sehingga berita ini ditulis, dua wanita asing dan seorang lelaki tempatan ditahan setakat ini berhubung kes itu.
Suspek wanita pertama, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2), memegang dokumen perjalanan Vietnam yang mana pasport itu menggunakan nama Doan Thi Huong, dengan tarikh lahir 31 Mei 1988 dan tempat lahirnya di Nam Dinh.
Polis menahan suspek wanita kedua memegang pasport Indonesia dengan nama Siti Aishah, yang menyatakan tarikh lahir pada 11 Feb 1992 dan tempat lahirnya di Serang, Indonesia.
Turut ditahan seorang lelaki warga Malaysia berusia 26 tahun yang dikatakan teman lelaki Siti Aishah.
Kedua-dua suspek wanita kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam.
-- BERNAMA