Kematian kes lemas empat kali ganda lebih tinggi dari kebakaran - Bomba

Nur Fazlizai Ali
September 19, 2020 09:59 MYT
Sehingga Julai tahun ini, sebanyak 161 kes lemas direkodkan di seluruh negara membabitkan 129 kematian, manakala seorang cedera. - Gambar hiasan
Kadar kematian disebabkan kes lemas di negara ini empat kali ganda lebih tinggi berbanding kadar kematian melibatkan mangsa kebakaran.
Demikian jelas Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid.
Katanya, tahun lalu sahaja sebanyak 300 kes lemas direkodkan melibatkan 232 kematian berbanding 121 kematian melibatkan mangsa kebakaran.
"Statistik aktiviti di air semakin meningkat, atas dasar itu kita (bomba) sebagai anchor dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) memainkan peranan cukup besar memastikan penurunan angka ini.
"Pada tahun lepas sahaja, kita ada dalam statistik 350 kematian disebabkan aktiviti air, di lima kawasan utama antaranya pantai dan sungai," katanya.
Tambahnya, kes lemas di kawasan sungai, tali air, pantai dan air terjun menunjukkan bilangan tertinggi.
Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, sehingga Julai tahun ini, sebanyak 161 kes lemas direkodkan di seluruh negara membabitkan 129 kematian, manakala seorang mangsa cedera.
Daripada jumlah itu, kes lemas di sungai merekodkan bilangan kes tertinggi iaitu 103 kes membabitkan 84 kematian.
Katanya, Sabah, Sarawak dan Selangor mencatatkan jumlah kes lemas tertinggi setakat ini.
#air #air terjun #Aktiviti air #bomba #cedera #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #kebakaran #keselamatan #lemas #Majlis Keselamatan Negara #mangsa #mangsa kebakaran #Pantai #Sungai #Tali air
;