Kematian kanak-kanak 12 tahun di Kluang bukan disebabkan strok haba - JKNJ
Astro Awani
Mei 2, 2023 21:23 MYT
Mei 2, 2023 21:23 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan kematian seorang kanak-kanak berumur 12 tahun di Kluang Johor bukan disebabkan strok haba seperti dilaporkan dalam media.
Sebaliknya menurut Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut, punca kematian adalah disebabkan Septic Shock secondary to Meningoencephalitis (jangkitan pada otak).
Tegasnya, siasatan yang dijalankan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang mendapati bahawa kanak-kanak itu telah dimasukkan ke wad kerana mengalami sawan selepas demam panas sehari sebelum selain mempunyai gejala batuk selama tiga hari.
"JKNJ memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dr Mohtar mewakili JKNJ merakamkan takziah kepada keluarga mangsa.
Terdahulu, Airiel Syahren, Syahrol Azmi meninggal dunia selepas kanak-kanak itu mengalami sawan dan demam panas.