Kematian Haziq akibat komplikasi salur darah jantung tersumbat - Pakar forensik
Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 15, 2021 12:17 MYT
Mei 15, 2021 12:17 MYT
KUALA LUMPUR: Hasil bedah siasat terhadap jenazah atlet pemanah negara Allahyarham Haziq Kamaruddin menunjukkan kematiannya disebabkan oleh komplikasi salur darah jantung tersumbat.
Perkara itu disahkan oleh Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik Kementerian Kesihatan Datuk Dr Zahari Noor menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu selepas bedah siasat dijalankan.
“Proses bedah siasat selesai dilakukan setelah calitan ujian COVID-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus tersebut.
"Hasil bedah siasat menunjukkan kepada kematian akibat komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis (coronary artery atherosclerosis),” jelasnya dalam kenyataan tersebut.
Bagaimanapun, jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menunggu analisis makmal untuk menilai beberapa keputusan.
Dr Zahari juga menyatakan sehingga kini tiada bukti menunjukan bahawa kematian atlet itu ada kaitan langsung dengan vaksinasi COVID-19.
Pemanah recurve itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang pada 9.37 pagi Jumaat selepas dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri di kediamannya di Kajang.
Haziq yang berasal dari Johor Bahru dan sudah berkeluarga pernah mewakili negara dalam dua temasya sukan iaitu Olimpik London 2012 dan Olimpik Rio 2016.
Beliau juga sebelum ini banyak mencipta kemenangan di peringkat antarabangsa dengan meraih pingat emas pada Kejohanan Memanah Asia 2011 di Tehran, Sukan SEA 2015 di Singapura dan Sukan SEA 2017 di Malaysia.
#Haziq Kamaruddin
#atlet memanah negara
#bukan sebab vaksin
#komplikasi salur darah jantung tersumbat
#Zahari Noor
#Olimpik
#Kementerian Kesihatan
#COVID-19
#vaksin
#jenazah