Kematian Girang: Analisis racun dijangka ambil masa lama

Hasimi Muhamad
November 17, 2019 19:38 MYT
Gajah pygmy terbaru yang ditemui mati di sebuah ladang di Sukau dikenal pasti sebagai 'Girang' berdasarkan kolar satelit yang ditemui di lehernya. - Gambar KEPKAS
Sampel racun yang dipercayai menjadi punca kematian gajah pygmy Borneo di kawasan Melangking Sukau, Sabah pada Sabtu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Bagaimanapun, menurut Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga keputusan untuk menentukan jenis racun tersebut dijangka mengambil masa yang lama.
“Bukan kami yang tentukan berapa lama (untuk tahu keputusan) sebab kita hantar sampel tu kepada Jabatan Kimia. Ia agak lama,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan satu pasukan dari JHL telah dikerah memantau kawasan ladang yang dipercayai menjadi lokasi keberadaan gajah pygmy Borneo.
“Sebenarnya kami sudah bekejasama dengan hampir semua ladang yang ada masalah (kehadiran) gajah.
“Jadi, nak elak itu (kematian gajah) kita cuba untuk elak berlaku kematian lagi namun kejadian ini tidak boleh dijangka,” ujarnya.
BACA: Lagi gajah pygmy ditemui mati
Terdahulu, Augustine mengesahkan gajah pygmy terbaru yang ditemui mati di sebuah ladang di Sukau dikenal pasti sebagai 'Girang' berdasarkan kolar satelit yang ditemui di lehernya.
Haiwan itu ditemui dalam parit di tepi jalan ladang berkenaan oleh seorang pekerja ladang, pada kira-kira jam 5.50 pagi pada Sabtu.
Setakat ini, punca kematian gajah tersebut dipercayai akibat keracunan dan dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 37 Enakmen Perlindungan Hidupan Liar 1997.
Penemuan terbaru itu menjadikan jumlah gajah pygmy Borneo yang mati di Sabah untuk tahun ini sebanyak 23 ekor.
#Gajah Bonneo diracun #Gajah Pygmy Girang #Gajah Pygmy mati #haiwan terancam
;