Kematian gadis di Baling bukan disebabkan vaksin COVID-19 - JKN Kedah
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 1, 2021 11:01 MYT
Oktober 1, 2021 11:01 MYT
ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menafikan seorang pelajar perempuan di Baling meninggal dunia akibat suntikan vaksin COVID-19.
Pengarahnya, Dr Othman Warijo berkata, JKN Kedah sudah membuat siasatan segera mengenai perkara ini dan mendapati dakwaan itu tidak benar.
"Allahyarham merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bukan lagi pelajar sekolah," kata Dr Othman.
Menurut beliau, siasatan mendapati Allahyarham telah menerima satu dos suntikan vaksin COVID-19 pada 5 September lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Abdul Razak, Baling.
Bagaimanapun gadis terbabit mengadu sakit perut pada 19 September dan diberi rawatan di Hospital Baling.
Namun selepas 20 hari divaksin iaitu pada 25 September, gadis itu dibawa ke Hospital Baling setelah tidak sedarkan diri.
Dr Othman berkata, tahap kesihatan gadis itu merosot teruk dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.
Hasil bedah siasat mendapati Allahyarham meninggal dunia disebabkan 'ruptured thoracic aneurysm' dan tiada kaitan dengan suntikan vaksin COVID-19, kata Dr Othman.
Laporan penuh bedah siasat sedang disediakan dan JKN mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Baru-baru ini tular berita di media sosial berhubung dakwaan seorang pelajar perempuan di daerah Baling meninggal selepas menerima suntikan vaksin COVID-19.
Dr Othman menasihati masyarakat umum agar elak mempercayai serta menyebarkan berita yang tidak disahkan dan mendapatkan maklumat sahih berkaitan vaksin dan jangkitan COVID-19.