Kematian empat sekeluarga akibat hidu asap tebal - Polis

Bernama
Februari 6, 2017 22:48 MYT
Kematian empat sekeluarga dalam kebakaran di Subang jaya, awal pagi tadi akibat menghidu asap tebal. - Gambar fail
Kematian empat sekeluarga dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan USJ 2/5A USJ 2, Subang jaya, awal pagi tadi akibat menghidu asap tebal, kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Mohammad Azlin Sadari.
Beliau berkata ini berdasarkan laporan bedah siasat oleh pihak Hospital Serdang ke atas keempat-empat mangsa iaitu Lim Ah Kok, 59, Goh Bee Khion, 51, Lim Yeong Wei, 17, dan Lim Yeong Liang, 20.
"Setakat ini tiada unsur jenayah dilaporkan berkaitan kejadian itu namun kami masih menunggu laporan forensik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
BACA: Empat sekeluarga maut kebakaran awal pagi di Subang Jaya
Mohammad Azlin berkata polis percaya kejadian itu tidak melibatkan unsur jenayah berikutan kebakaran berlaku dari tingkat bawah manakala keempat-empat mangsa ditemukan dalam bilik tidur dan bilik di tingkat atas rumah berkenaan.
"Sekiranya terdapat unsur jenayah atau terdapat individu yang sengaja membakar untuk tujuan membunuh mangsa, pelaku pasti akan melakukan pembakaran dari luar bilik di tingkat atas dan bukan dari tingkat bawah," katanya.
Dalam kejadian yang bermula kira-kira 5.30 pagi tadi, tiga mangsa ditemukan mati di dalam bilik tidur manakala seorang lagi mangsa dalam bilik air rumah berkenaan yang musnah 80 peratus akibat kebakaran itu.
-- BERNAMA
#empat maut #kebakaran #Mohd Sani Harul #rumah terbakar #Subang Jaya #USJ
;