Kematian di LPT2: Pemandu treler dibebaskan dengan jamin polis

Bernama
Mei 11, 2017 23:53 MYT
Ujian saringan air kencing terhadap pemandu treler itu didapati positif dadah Methapitamine.
Pemandu treler yang merempuh dan menyebabkan kematian seorang lelaki di KM360.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) semalam, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata ujian saringan air kencing terhadap pemandu itu, yang berasal dari Kelantan, didapati positif dadah Methapitamine.
"Kita juga melakukan ujian darah suspek berusia 43 tahun itu selain merakamkan percakapannya untuk siasatan lanjut berhubung insiden terbabit," katanya kepada Bernama di sini.
Dalan nahas kira-kira 6 pagi itu, seorang maut manakala tiga lagi rakannya cedera selepas dirempuh treler membawa muatan bijih timah ketika mereka berhenti di lorong kecemasan untuk menukar tayar kereta yang pancit.
Difahamkan, sejurus insiden berkenaan, pemandu berkenaan bertindak melarikan diri dan meninggalkan trelernya di lokasi kejadian.
Kira-kira 12.30 tengah hari semalam, suspek menyerah diri dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun (IPD), kata Ahmad Zailani sambil memberitahu siasatan masih dijalankan.
-- BERNAMA
#LPT2 #Supt Ahmad Zailani Yaacub
;