Kematian bayi: Pasangan berhasrat saman HRPZ II

Muhafandi Muhamad
Februari 24, 2022 13:56 MYT
Pasangan terbabit mendakwa kematian anak lelaki mereka, Muhammad Hilman Firdaus, dua bulan kerana kecuaian pihak hospital terbabit. - Foto Astro AWANI
TUMPAT: Sepasang suami isteri dari Kampung Pulau Belanga, Tumpat bercadang mengambil tindakan saman terhadap Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II), Kota Bharu, susulan kematian anak tunggal mereka berusia dua bulan lebih Jumaat lalu.
Rosilawati Ismail, 26, dan suaminya Muhammad Hilmi Firdaus, 23, mendakwa kematian anak lelaki mereka, Muhammad Hilman Firdaus, dua bulan adalah kerana kecuaian pihak hospital terbabit selepas beberapa hari mendapatkan rawatan di situ.
Rosilawati turut mendakwa anaknya diberikan susu tamat tempoh, selain diberikan ubat tidur tanpa keizinan serta dipaksa berpuasa selama lima hari berturut-turut.
Menurut Rosilawati lagi, anaknya meninggal dunia pada petang 19 Februari lepas dengan punca kematiannya hingga kini tidak dimaklumkan.
"Saya tidak puas hati kerana pasal susu expired (tamat tempoh), beri ubat tidur tanpa izin, masuk ubat ikut punggung. Dua kali saya tanya punca kematian dia tak bagi tahu sehingga kini.
"Kenapa saya tidak puas hati? Mula-mula susu, susu itu dikeluarkan 9 Feb, dah expired, bila saya bancuh nampak basi. Kalau di pasaran dia tak jual dah. Doktor kata pula susu dia bagi ini dengan di pasaran tak sama, saya senyaplah sampai 14 haribulan, guna lepas expired dah," dakwanya.
Pasangan itu tampil membuat sidang media di sini hari ini.
BACA: HRPZ II adakan pertemuan dengan keluarga bayi meninggal dipercayai kecuaian hospital
Bayi meninggal | Pasangan suami isteri mahu saman hospital
Sebelum ini, media tempatan melaporkan tular di media sosial berkenaan bayi berusia dua bulan yang meninggal dunia yang didakwa akibat kecuaian doktor di HRPZ II ketika memberikan rawatan.
Mengulas lanjut, pasangan berkenaan memaklumkan sebelum itu anaknya dibawa ke sebuah klinik selepas mengalami cirit birit dan kekurangan air dalam badan.
Klinik berkenaan kemudiannya meminta supaya anaknya di rujuk ke Unit Kecemasan HRPZ II untuk rawatan lanjut.
Selepas berada tiga jam di unit kecemasan terbabit, anaknya telah dibawa ke Wad Kanak-Kanak hospital itu.
Kata mereka lagi, selepas tiga hari di Wad Kanak Kanak, anak mereka dipindahkan ke wad biasa yang membolehkan ibu bapa menjaga.
Bayi itu dikatakan mengalami bintik merah di kulit ketika berada di wad tersebut yang dipercayai kerana alahan ubat.
HRPZ II sebelum ini berkata akan mengadakan pertemuan dengan waris keluarga yang mendakwa berlaku kecuaian ketika mendapatkan rawatan di hospital itu sehingga menyebabkan kematian kepada bayi berusia dua bulan, Jumaat lepas.
Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata pihaknya telah mengadakan siasatan melibatkan pakar perubatan, doktor serta jururawat yang bertanggungjawab dalam merawat bayi berkenaan.
Sementara Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) turut memaklumkan akan melakukan siasatan secara menyeluruh dan terperinci berhubung kematian bayi lelaki terbabit.
#HRPZ #Tumpat #bayi meninggal dunia #saman
;