Kematian bayi di Taska: Srikandi Bersatu gesa beri perhatian serius, kemuka empat cadangan
Hasimi Muhamad
Januari 10, 2025 11:20 MYT
Januari 10, 2025 11:20 MYT
KUALA LUMPUR: Srikandi Bersatu menggesa kerajaan memberikan perhatian serius dan mengambil tindakan segera susulan laporan terbaharu mengenai kematian seorang bayi berusia empat bulan di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska).
Pengerusi Portfolio Pembangunan Wanita , Keluarga & Pembangunan Usahawan Srikandi Bersatu Malaysia, Marzita Mansor berkata, sejak akhir-akhir ini kerap berlaku kejadian bayi meninggal dunia atau cedera di Taska.
Justeru, beliau yang juga Exco Kerajaan Perlis berkata, Srikandi Bersatu mencadangkan beberapa aspek perlu diambil perhatian untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di Taska, antaranya meningkatkan prosesur pemeriksaan.
“Pemeriksaan berkala yang lebih kerap dan menyeluruh perlu dilakukan di semua Taska untuk memastikan mereka mematuhi piawaian keselamatan dan kebersihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Srikandi Bersatu mencadangkan penubuhan Unit Khas Pengawasan di bawah kementerian.
Ujar Marzita lagi, unit khas tersebut bagi memantau dan menyiasat kes-kes kecuaian di Taska dengan lebih cekap dan pantas.
“Dalam masa sama, menyediakan sistem aduan yang mudah dan cepat. Platform aduan yang mudah diakses oleh ibu bapa untuk melaporkan sebarang isu berkaitan Taska dengan pantas, serta memastikan tindakan susulan diambil segera,” tambah beliau.
Srikandi Bersatu juga, jelas beliau, mencadangkan supaya kesedaran dalam kalangan ibu bapa ditingkatkan mengenai kepentingan memilih Taska yang berdaftar dan memantau keadaan anak-anak semasa di bawah jagaan pengasuh.
Marzita berkata, ini kerana, dalam kes terbaharu didapati permohonan Taska tersebut untuk beroperasi masih belum diluluskan.
“Oleh yang demikian, Srikandi Bersatu Malaysia berharap dengan mengambil langkah-langkah ini, kerajaan dapat menunjukkan komitmen serius dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di Taska,” ujar beliau.
Baru-baru ini, Astro AWANI melaporkan bayi lelaki berusia empat bulan maut selepas dihantar ke sebuah Taska tidak berlesen di Bandar Saujana Putra.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada doktor sebuah klinik di Bandar Saujana Putra pada pukul 3. 29 petang.
Mohd Akmalrizal berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.