Kematian bayi di HRPZ II belum dipastikan kerana kecuaian hospital - Dr Noor Azmi
Mohd Zalani Md Atan
Februari 25, 2022 14:21 MYT
Februari 25, 2022 14:21 MYT
KUANTAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga kini masih belum dapat memastikan faktor kecuaian adalah antara punca kematian seorang bayi yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan, pada 18 Februari lalu
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, perkara itu masih lagi dalam siasatan KKM untuk mengenal pasti punca sebenar insiden malang tersebut.
"Itu masih dalam siasatan, jadi KKM sedang membuat siasatan seperti dinyatakan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin sebelum ini.
"KKM sedang membuat siasatan berhubung insiden itu. Bila kita dapat maklumat dari pengurusan kita akan nyatakan. Belum dipastikan lagi, masih dalam siasatan," katanya.
Datuk Dr Noor Azmi berkata demikian ketika ditanya media selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Wira, di sini pada Jumaat.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.
Semalam, keluarga bayi lelaki yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di HRPZ II, Kelantan yang didakwa meninggal akibat kecuaian, dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital berkenaan.
Ibu mangsa, Rosilawati Ismail, 26, berkata tindakan akan diambil sebagai pembelaan terhadap kematian anak tunggalnya, Muhammad Hilman Firdaus Muhammad Hilmi yang berusia dua bulan pada Jumaat lalu.
Sementara itu, mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) yang dilancarkan sejak 3 Februari lalu, Dr Noor Azmi berkata, hanya 1 dari 58 kes dikategorikan serius.
Ini kerana kanak-kanak berkenaan mempunyai sejarah menghidap asma namun setelah diberi rawatan kanak-kanak berkenaan sudah pulih.
"Sebenarnya anak ini memang dah ada asma dan anak ini sebelum ini dah banyak kali masuk hospital di atas sebab-sebab yang menyebabkan dia kena asma.
"Jadi kali ini mungkin dia stress, mungkin apa tapi selepas itu dia kena asma dan dimasukkan ke hospital dan telah diberi rawatan asma dan sudah pun baik," katanya.
Menurut Dr Noor Azmi lagi, sehingga semalam kira-kira 710,000 kanak-kanak yang layak sudah menerima suntikan vaksin dos pertama mereka di pusat pemberian vaksin (PPV) disediakan.
Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang mencatatkan jumlah penerima suntikan vaksin tertinggi, manakala Sabah, Terengganu dan Kelantan pula merekodkan jumlah terendah.