Kematian Baby Syifaa disebabkan tekanan pada leher - Mahkamah Koroner

Sinar Harian
Julai 31, 2024 12:00 MYT
Yuseri (kanan), Anida (kiri) dan peguam mereka ditemui pemberita selepas keputusan inkues Baby Syifaa, di Mahkamah Koroner Seremban, hari ini. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Mahkamah Koroner di sini hari ini memutuskan punca kematian Baby Syifaa yang ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di pusat asuhannya dua tahun lalu disebabkan tekanan pada leher.
Koroner, Datin Surita Budin ketika membacakan keputusan itu berkata, kematian Nour Rania Asyifaa Yuseri bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan tetapi disebabkan tergantung di dalam buaian yang ditinggalkan oleh pengasuh.
"Kematiannya disebabkan akibat tekanan pada leher dan tekanan ini bersesuaian dihasilkan oleh berat badan si mati apabila lehernya tersangkut di bahagian tepi sisi hujung kain buaian.
"Bagi tujuan inkues ini saya telah berpuas hati bahawa atas imbangan kebarangkalian berdasarkan keterangan daripada saksi-saksi apabila dilihat secara keseluruhannya, untuk mahkamah memutuskan kematian si mati bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan.
"Tetapi terdapat keterangan kukuh yang menunjukkan si mati telah tergantung di dalam buaian disebabkan tindakan atau tinggalan S19 (pengasuh) yang tinggalkannya di dalam buaian tanpa pengawasan yang sewajarnya dalam jangka masa yang munasabah," katanya.
Menurutnya, keadaan itu akhirnya telah menyebabkan kematian bayi berkenaan yang membawa kepada satu perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Ibu bapa kepada Baby Syifaa iaitu Anida Idrus dan Yuseri Yussof turut hadir bagi mendengar keputusan itu.
Mereka turut disertai dengan beberapa penyokong yang berpakaian berwarna hitam.
Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues bermula 22 September 2022.
Media sebelum ini melaporkan, Baby Syifaa yang berusia 15 bulan ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.
Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian. - Sinar Harian
#Baby Syifaa #Mahkamah Koroner Seremban #ditinggalkan tanpa pengawasan #bayi meninggal dunia
;