Kematian Adam Rayqal satu kekejaman luar biasa, di luar norma kemanusiaan
Bernama
Julai 5, 2018 18:20 MYT
Julai 5, 2018 18:20 MYT
Kes kematian Adam Rayqal Mohd Sufi, bayi berusia lima bulan di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor, kelmarin disifatkan sebagai satu tindakan kekejaman luar biasa dan tidak berperikemanusiaan.
Pakar psikologi dan kaunseling, Dr Meriam Omar Din berkata siasatan dan pemeriksaan dengan lebih mendalam perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar pengasuh berkenaan sehingga sanggup melakukan perbuatan kejam itu.
"Terdapat pelbagai faktor yang mungkin mempengaruhi tindakan pengasuh terbabit. Oleh itu, ibu bapa juga dinasihatkan agar lebih peka dan berhati-hati dalam memilih pusat asuhan kanak-kanak dan pengasuh yang menerima upah menjaga kanak-kanak di kediaman sendiri bagi mengelak sebarang kejadian buruk," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Bayi lelaki berkenaan dilaporkan hilang pada Selasa sebelum mayatnya ditemui dalam beg berwarna hijau oleh anggota polis dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah pengasuhnya di Batu Caves, pada lewat malam, hari yang sama.
Ujian khas
Dalam pada itu, bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Rohaty Mohd Majzub, berkata setiap pengasuh yang bekerja di pusat asuhan kanak-kanak perlu menjalani ujian khas termasuk ujian personaliti dan psikologi bagi mengelak kejadian tersebut berulang.
"Pastikan pemantauan pusat asuhan kanak-kanak dilakukan secara kerap dan ibu bapa tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab menjaga anak mereka sepenuhnya kepada pengasuh," katanya.
Setiausaha Persatuan Komuniti Prihatin Setempat, Kamal Ahmad Abdullah berkata perbuatan tersebut adalah di luar norma kemanusiaan dan bimbingan sewajarnya hendaklah diberikan kepada mana-mana pihak yang ingin menawarkan perkhidmatan penjagaan anak-anak serta pusat asuhan.
"Ibu bapa yang bercadang untuk menghantar anak-anak mereka di pusat asuhan dinasihatkan supaya terlebih dahulu menyelidik latar belakang pengasuh dan persekitaran di pusat asuhan kanak-kanak.
"Cari pengasuh dan pusat asuhan kanak-kanak yang berdaftar, berlesen dan sering dikawal selia oleh pihak berkuasa. Mengenai bayaran, mahal sedikit tidak mengapa, asalkan keselamatan terjamin," katanya.
Presiden Pertubuhan Wanita Dalam Perniagaan dan Pemikiran Kreatif (PEWANGI), Nabila Sanusi, berkata kes tragis sedemikian bukan merupakan kes kecuaian yang pertama berlaku di rumah pengasuh, sebaliknya berita-berita kematian sedemikian seperti bayi terjatuh dari buaian dan tersedak susu seringkali dilaporkan oleh media massa.
Realisasikan segera
"Kejadian yang menimpa bayi ini seharusnya menjadi titik tolak kepada kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk memastikan cadangan supaya majikan diwajibkan menyediakan pusat jagaan anak-anak kakitangan di tempat kerja direalisasikan segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegasnya apa jua alasan yang diberikan oleh individu yang melakukan perbuatan kejam tersebut, ia tidak seharusnya menjadi sebab untuk mereka yang bersalah terlepas daripada hukuman yang sewajarnya.
Dalam pada itu, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) perubatan dan kesihatan, dalam kenyataan, menyarankan orang ramai menghentikan kritikan tidak berasas di media sosial terhadap ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat asuhan kanak-kanak.
"Netizen juga digesa menghentikan sebarang sebaran grafik yang boleh mengganggu emosi keluarga mangsa. Keluarga, jiran dan masyarakat perlu memahami dan memberi sokongan kepada golongan ibu dalam mengurus anak dan keluarga sekiranya terpaksa bertugas pada waktu kerja yang tidak menentu," katanya.
Sementara itu, pengguna akaun Facebook. Cikli Roslee, menyarankan agar penjawat awam dan pekerja swasta khususnya golongan ibu yang bekerja syif ditukarkan kepada waktu bekerja normal (waktu pejabat).
"Agak sukar mencari pengasuh berkualiti yang boleh menjaga bayi bagi ibu yang bekerja syif ini. Sekurang-kurangnya berilah mereka (ibu) itu bekerja syif normal sehingga bayi menjangkau umur sekurang-kurangnya setahun," katanya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Safie Salleh, mengusulkan supaya setiap majikan menyediakan taska bayi dengan setiap kos penjagaan dibahagi dua dengan pekerja bagi bayi berusia tiga bulan sehingga empat tahun.
-- BERNAMA
#Adam Rayqal Mohd Sufi
#ajal
#bayi meninggal dunia
#bimbingan
#Kanak-kanak
#pemantauan
#pengasuh
#psikologi
#pusat jagaan