Kemasukan semula pelajar ke IPT tuntut komitmen jitu

Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran
September 26, 2021 11:16 MYT
Pengajian secara hibrid akan dijalankan bagi membolehkan pelajar IPT menikmati fleksibiliti dalam pembelajaran. - Gambar hiasan
MULAI 15 Oktober depan, pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan dibenarkan untuk pulang ke kampus secara berperingkat selepas tiga semester mengikuti pengajian secara maya di rumah.
Pengumuman dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad itu pastinya memberi nafas lega kepada pelajar bekeperluan terutama yang bergantung kepada penggunaan infrastruktur IPT seperti makmal dan kemudahan lain.
Bagaimanapun, kemasukan itu hanya membabitkan mereka yang sudah lengkap vaksinasi dan perlu melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT mengikut kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Inisiatif berkenaan dilakukan bagi memastikan kelestarian kualiti pendidikan tinggi negara, di samping meletakkan keselamatan dan kebajikan pelajar sebagai keutamaan.
Keputusan itu dibuat secara kolektif selepas mengambil kira input sesi libat urus bersama MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM), pengurusan IPT meliputi Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan wakil persatuan IPT swasta (IPTS), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan wakil kesatuan/persatuan pelajar.
Diharap usaha itu akan memberi keceriaan kepada pelajar yang sudah lengkap divaksinasi untuk menjalani pengajian dan pembelajaran (PdP) di kampus.
Semua IPT sudah pun mendapat kerjasama yang baik daripada KKM untuk mendapatkan vaksinasi dan kini kira-kira 75 peratus pelajar sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 serta 65 peratus sudah lengkap dua dos.
Sekiranya kerjasama itu berjalan lancar, dijangka semua pelajar akan mendapat vaksinasi menjelang hujung Oktober depan.
Jika warga kampus termasuk kakitangan akademik, bukan akademik dan pelajar komited untuk membentuk imuniti kelompok, rebutlah peluang mendapatkan vaksinasi menerusi Program VACC2Campus.
Warga IPT boleh mendapatkan vaksin secara walk-in di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan hanya perlu bawa kad pelajar/kad pekerja dan kad pengenalan/pasport sahaja.
Kini, rata-rata IPT sudah menyatakan kesediaan masing-masing dalam menguruskan kemasukan pelajar ke kampus secara fizikal bagi sesi 2021/2022.
Bagaimanapun, pelajar yang masih belum lengkap vaksinasi dan tidak pulang ke kampus tetap akan diberi perhatian oleh IPT masing-masing, malah mereka boleh menghubungi kampus bagi mendapatkan sebarang bantuan atau maklumat sepanjang pengajian.
Pengajian secara hibrid iaitu kombinasi PdP secara konvensional dan dalam talian akan dijalankan bagi membolehkan pelajar menikmati fleksibiliti dalam pembelajaran.
Perkara itu selaras dengan hasrat kementerian untuk melihat proses PdP tetap berjalan walaupun dalam situasi pandemik COVID-19 dengan beberapa kelonggaran diberikan kepada IPT sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam melaksanakan program akademik masing-masing terutama yang berada dalam kawasan PKP Diperketatkan.
Kelonggaran diberikan mengambil kira sama ada objektif atau matlamat sesebuah subjek itu tercapai atau sebaliknya dengan mengurangkan sedikit tugasan diberikan kepada pelajar.
Misalnya, satu subjek menyarankan pelajar untuk menjalankan tujuh tugasan bagi mencapai objektifnya dalam satu semester, namun sekiranya dengan menjalankan tiga tugasan pun sudah mencapai matlamatnya, ia sudah memadai asalkan kualiti program masih mengikut standard ditetapkan.
Pada masa sama, diharap warga kampus untuk melihat masalah atau dugaan yang melanda sebagai satu peluang untuk memajukan diri serta organisasi.
COVID-19 yang melanda memang satu musibah, namun dalam konteks lain boleh dijadikan peluang atau titik transformasi kepada IPT untuk memantapkan lagi PdP terutama kaedah dalam talian.
Kemasukan pelajar semula ke kampus mungkin akan ada kelemahannya nanti, justeru golongan itu perlu mengambil cabaran yang dihadapi secara positif.
Sekiranya terdapat sebarang kekurangan, segera berinteraksi dan berbincang dengan pihak pentabiran IPT menerusi saluran yang betul seperti MPP atau persatuan pelajar lainnya.
Memuat naik masalah di media sosial ibarat membuka pekung di dada dan hanya bakal mengeruhkan lagi keadaan serta memburukkan imej IPT masing-masing.
Dengan kerjasama yang baik antara semua pihak berkenaan, kemasukan semula pelajar secara fizikal dan berperingkat ini pasti akan dapat dilaksanakan dengan lancar.

* Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#pelajar IPT #Kementerian Pengajian Tinggi #vaksinasi #pembukaan semula kampus
;