Kemasukan pelancong ke Langkawi terus meningkat

Bernama
Mei 12, 2022 21:18 MYT
Hotel-hotel di Langkawi terus menerima tempahan daripada pelancong untuk datang bercuti di pulau peranginan itu. - Gambar fail
ALOR SETAR: Dakwaan bahawa industri pelancongan di Langkawi berisiko untuk lumpuh berikutan kekurangan tenaga kerja dalam bidang hospitaliti seperti hotel adalah tidak tepat memandangkan kedatangan pelancong ke pulau peranginan itu terus mencatatkan peningkatan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penerbangan masuk ke Langkawi adalah antara 20 hingga ke 30 sehari dan angka itu lebih tinggi pada hujung minggu dan hari cuti.
Beliau berkata, ketika cuti Hari Raya Aidilfitri ini mencatatkan sejumlah 80,436 orang memasuki pulau peranginan itu bagi tempoh 28 April hingga 6 Mei lepas dengan masing-masing 54,081 orang datang ke Langkawi melalui laluan laut manakala selebihnya menerusi laluan udara.
"Trip feri juga semakin baik, sekarang secara purata ada empat trip dari Kuala Perlis dan empat trip dari Kuala Kedah," katanya kepada Bernama hari ini.
Muhammad Sanusi berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar tempatan semalam yang mendakwa industri pelancongan Langkawi mungkin lumpuh berikutan pulau peranginan itu kini dilaporkan kekurangan tenaga kerja kritikal.
Dalam laporan itu yang memetik sumber daripada industri perhotelan di Malaysia yang mendakwa pihaknya dimaklumkan kira-kira 30,000 pekerja hotel dan perkhidmatan hospitaliti di pulau itu masih belum digantikan setakat ini.
Mengulas lanjut, Menteri Besar Kedah itu berkata, tidak dinafikan sememangnya berlaku kekurangan pekerja di Langkawi namun tidak seburuk yang digambarkan itu kerana anggaran daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati kekurangan kesemua pekerja ialah seramai 17,000 pekerja, bukannya 30,000 orang.
Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kedah dan Perlis, Razmi Rahmat berkata, hotel di Langkawi terus menerima tempahan daripada pelancong untuk datang bercuti di pulau peranginan itu.
Razmi berkata, berdasarkan pemerhatiannya mendapati industri pelancongan di pulau peranginan itu sentiasa rancak dengan kedatangan pelancong sekali gus menyangkal dakwaan yang menyatakan industri pelancongan Langkawi berisiko untuk lumpuh.
"Dakwaan itu mencalarkan imej Langkawi kerana dilihat akan mengurangkan keyakinan pelancong untuk datang ke Langkawi yang mana mungkin mereka bimbang dengan perkhidmatan diberikan pihak hotel jika pekerja berkurangan.
"Kalau betul 30,000 pekerja tidak ada, kami hotel tidak boleh beroperasi langsunglah, pakat tutup habis sedangkan sekarang ini pelancongan di Langkawi sentiasa banyak pelancong datang," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad pula berkata, sebenarnya ramai orang mencari kerja selepas negara beralih ke fasa endemik dan untuk itu pihak pengurusan hotel perlu melonggarkan sedikit proses pengambilan pekerja mereka.
"Sesetengah hotel ini melihat kepada pengalaman kerja, penampilan dan sebagainya tetapi jika mereka longgarkan sedikit kemahiran ataupun pengalaman ini, kita boleh ajar dan berikan latihan untuk meningkatkan kemahiran, tidak perlulah kita tekankan sangat yang tidak ada kemahiran kita tidak boleh ambil kerja.
Sebelum pandemik COVID-19 kita pegang pada prinsip macam ini (inginkan pekerja berkemahiran dan berpengalaman) tiada masalah, tetapi bila kita dah beralih ke fasa endemik ini, mungkin boleh dilonggarkan sedikit sebab orang mencari kerja ini banyak dan dapat beri peluang kepada mereka," katanya.
Beliau berkata, masalah kekurangan tenaga kerja itu juga bergantung kepada kebijaksanaan pihak pengurusan hotel untuk menguruskan pekerja mereka supaya dapat menampung jumlah pekerja yang bersesuaian sekali gus dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung.
"Sekiranya pihak hotel sanggup belanja duit untuk mengambil pekerja yang lebih ramai bagi mengisi kekosongan yang ada dan juga jika pengurusan pandai untuk mengolah jumlah staf yang ada untuk menampung tempat yang tidak cukup orang, pihak hotel masih boleh menjaga standard mereka.
Bukan disebabkan angka (kira-kira 30,000 pekerja itu) akan berikan kesan kepada industri pelancongan, tetapi ia lebih kepada perniagaan tempat bekerja tersebut yang akan menerima kesan sekiranya mereka tak sanggup berbelanja ambil staf sebab nak jimat," katanya. - BERNAMA
#Langkawi #industri pelancongan #industri perhotelan #Menteri Besar Kedah
;