Kemasukan pelancong China: Pemain industri akan akur SOP ditetapkan kerajaan

Ridauddin Daud
Disember 29, 2022 13:55 MYT
Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata, pihaknya menasihatkan pemain industri supaya memantau SOP sebaiknya bagi mengelakkan berlakunya penularan COVID-19. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Penggiat industri pelancongan akan akur dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam menerima kemasukan pelancong China yang dijangka meningkat mendadak pada tahun hadapan.
Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata, pihaknya menasihatkan pemain industri supaya memantau SOP sebaiknya bagi mengelakkan berlakunya penularan COVID-19.
Menurutnya, mereka tidak boleh mengharapkan kerajaan dan pihak berkuasa untuk memantau segalanya tetapi perlu mengambil inisiatif menguatkuasakan sebaiknya semua SOP sebelum ini.
"SOP sudah sedia ada terutamanya dari segi scanning (imbas suhu), vaksin… vaksin kena ada. Saya dapat tahu Singapura akan tambah dos vaksin, saya dapat tahu dari wakil kami di Singapura.
"Apa yang pasti, SOP semua sudah ada. Dari segi periksa suhu, itu kena ada. Dari segi vaksin, itu pun ada. Testing (ujian saringan) kita ikut pada kerajaan. Kalau pihak kerajaan kata perlu adakan ujian saringsn sebelum datang sini (Malaysia), kita akur.
“Setakat ini belum ada lagi. Hanya ada beberapa negara yang kuat kuasa seperti Amerika Syarikat. Jadi kita kena akur dengan keputusan kerajaan kerana kita perlu lihat semuanya," katanya.
Tambah beliau, MITA juga akan terus mendapatkan nasihat daripada pakar terutamanya melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa berhubung SOP membabitkan industri pelancongan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Persediaan Industri Pelancongan Menerima Pelancong Dari China dan Pelancaran Acara Fish Tale Global Chinese Challenge 2023, di sini, pada Khamis.
China dilaporkan akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari 2023, selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik COVID-19.
Perkembangan terbaharu itu menyaksikan pengusaha pelancongan tempatan melakukan persiapan awal bagi menyambut kehadiran pelancong dari negara berkenaan yang lazimnya menjadikan Malaysia sebagai antara lokasi tumpuan mereka.
Dalam pada itu, Uzaidi menegaskan, selain China, MITA juga akan memantau negara lain seperti India yang kebelakangan ini merekodkan jumlah kes COVID-19 yang agak tinggi.
"Kita tengok juga perkembangan negara-negara lain. Kita kena belajar untuk hidup dengan virus ini, kena seimbangkan virus itu dengan ekonomi. Jadi itu amat penting.
"Kita masih lagi belajar dan belajar untuk cari amalan terbaik. Pihak kami pun ada buat pensijilan SOP supaya industri dapat patuhi. Kita harus berhati-hati, elakkan supaya tidak lagi berlaku 'lockdown' dan sebagainya.
"Kalau 'lockdown' sekali lagi, teruk juga kesannya kepada industri pelancongan kita," ujarnya.
#kemasukan pelancong China #industri pelancongan #Majlis Pelancongan Malaysia #Uzaidi Udanis
;