Kemasukan pelajar ke universiti awam tiada 'pintu belakang', tak nafi hak B40

Hasimi Muhamad
Disember 25, 2024 17:16 MYT
Mohd Ekhwan (tengah) berkata pengambilan pelajar ke universiti awam di negara ini dibuat secara telus, melalui sistem tapisan dan saringan ketat serta kriteria yang telah ditetapkan - Foto/JKNCR UA
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) menafikan dakwaan bahawa kemasukan pelajar ke universiti awam menggunakan ‘pintu belakang’, sekali gus menafikan hak para pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan.
Pengerusinya, Prof Datuk Mohd Ekhwan Toriman, berkata pengambilan pelajar ke universiti awam di negara ini dibuat secara telus, melalui sistem tapisan dan saringan ketat serta kriteria yang telah ditetapkan.
Justeru, ujarnya pihak JKNCR UA menegaskan bahawa kaedah ‘pintu belakang’ sama sekali tidak pernah wujud dalam proses kemasukan pelajar ke mana-mana universiti awam di Malaysia.
"Jumlah kemasukan pelajar ke universiti awam melalui saluran arus perdana juga tidak pernah dikurangkan. Justeru, tidak ada isu pengambilan kuota pelajar miskin untuk tujuan penjanaan pendapatan. ⁠
"Pengambilan pelajar adalah mengikut kaedah ‘over dan above’, yakni kuota arus perdana dipenuhkan dahulu sebelum proses pengambilan dibuka semula kepada calon yang membuat rayuan," katanya dalam sidang media khas pada Rabu, yang turut dihadiri 20 Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam.
Beliau mengulas kenyataan dibuat Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Haim Hilman Abdullah yang mendakwa kemasukan pelajar ke universiti awam menggunakan saluran terbuka komersial.
Mengulas lanjut, Mohd Ekhwan berkata, kenyataan yang dibuat Haim berunsur fitnah dan mencerminkan sifat tidak bertanggungjawab beliau kerana mengelirukan masyarakat serta menimbulkan kontroversi tidak berasas.
Katanya lagi, prosedur kemasukan pelajar ke universiti awam mempunyai dua saluran berbeza iaitu saluran perdana dibuka dengan subsidi kerajaan, manakala saluran komersial dibuka tanpa subsidi kerajaan.
"Saluran perdana mengambil sebahagian besar pelajar B40, manakala saluran komersial mengambil pelajar dalam kalangan keluarga T20 dan antarabangsa.
"Mengaitkan saluran komersial dengan perampasan tempat B40 mengambarkan kecelaruan dalam kefahaman terhadap tujuan diwujudkan saluran komersial ini.
"Tidak mungkin Yang Berhormat ini yang juga merupakan bekas Naib Canselor UUM tidak faham akan tujuan saluran komersial dan dan bagaimana ia dilaksanakan sedangkan saluran terbuka atau komersial telah wujud di UUM semasa beliau menjawat jawatan tersebut," katanya lagi.
Dalam masa sama, Mohd Ekhwan berkata, dakwaan berkaitan pengambilan pelajar antarabangsa juga merupakan fitnah besar.
Jelas beliau, Malaysia sebagai satu hab pendidikan tinggi telah diiktiraf oleh banyak negara dan menjadi pilihan pelajar luar negara.
"Kita sama sekali tidak berkompromi dengan kriteria kemasukan, malah kita berikan peluang meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi melalui program dalaman universiti," kata beliau.
#kemasukan universiti awam #pendidikan tinggi #pintu belakang #Mohd Ekhwan Toriman #kuota
;