Kemasukan pelajar asing dapat tambah sumber kewangan Universiti Awam
Bernama
April 5, 2017 18:30 MYT
April 5, 2017 18:30 MYT
Tawaran lima peratus tempat untuk kursus perubatan, pergigian dan farmasi di Universiti Awam (UA) kepada pelajar asing dilihat dapat menambah sumber kewangan universiti serta mengantarabangsakan universiti berkenaan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata pelajar asing yang mengikuti kursus perubatan, pergigian dan farmasi di UA akan dikenakan yuran penuh iaitu antara RM400,000 hingga RM500,000.
Pelajar Malaysia yang mengikuti kursus perubatan, pergigian dan farmasi di UA menikmati yuran bersubsidi iaitu antara RM15,000 hingga RM30,000, katanya.
"Dengan adanya yuran mereka (pelajar asing) ia membantu UA untuk melaksanakan program dan membantu keperluan kewangan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib semasa lawatan ke India mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menawarkan lima peratus tempat untuk kursus perubatan, pergigian dan farmasi kepada pelajar asing mulai pengambilan tahun ini.
Sebelum itu, Idris menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diwakili Ketua Setiausahanya Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang diwakili Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abdul Rahman.
Dengan MoU itu, kerjasama JPP dan Petronas merangkumi latihan kepakaran mengikut bidang kepada tenaga pengajar politeknik dan bantuan peralatan bagi program Diploma Kejuruteraan Petrokimia semasa proses pembelajaran dan pengajaran.
Politeknik terlibat adalah daripada program Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) dan pelajar daripada program Kejuruteraan Diploma Kejuruteraan Petrokimia, Politeknik Kuching Sarawak.
Sementara itu, Idris meminta lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) agar tidak ghairah dan lebih berhati-hati sekiranya menerima tawaran kemasukan ke UA melalui aplikasi WhatsApp.
"Sekiranya jumpa tawaran sebegini, pelajar-pelajar harus menyemak status keputusan permohonan kemasukan ke UA melalui UPU Online. Kalau was-was, boleh tanya KPT dan kita akan membantu," katanya mengulas laporan terdapatnya mesej mengandungi tawaran palsu melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi.
Mesej itu meminta mangsa segera membayar RM300 sebagai pengesahan menerima tawaran berkenaan kerana tarikh akhir penerimaan tawaran kononnya hampir tiba.
"KPT akan terus memantau dan tindakan selanjutnya akan diambil bagi memastikan perkara ini tidak berleluasa," kata Idris. -- BERNAMA
#Idris Jusoh
#pelajar asing
#semak status
#sumber kewangan
#tawaran kemasukan
#UA
#universiti awam
#wang
#WhatsApp
#yuran bersubsidi