Kemasukan pekerja Bangladesh bergantung kepada keperluan tempatan: Tok Pa
Muhafandi Muhamad
Februari 13, 2016 22:32 MYT
Februari 13, 2016 22:32 MYT
Kemasukan pekerja dari Bangladesh ke Malaysia akan bergantung kepada keperluan industri negara.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada masa sama menolak dakwaan kemasukkan pekerja asing itu bagi bertujuan politik.
Justeru, katanya, rakyat tidak perlu bimbang mengenai kemasukan pekerja Bangladesh itu kerana kerajaan tidak akan meminggirkan rakyat negara ini yang memerlukan pekerjaan.
"Kita harap rakyat tidak akan salah faham. Kerajaan dah memberi beberapa kali penerangan mengenai perkara ini.
"Pengambilan 1.5 juta pekerja (Bangladesh) ini bukan dalam sehari dua sahaja. Peringkat pertama pengambilan adalah dengan mengesahkan pendatang asing tidak sah yang kita sudah membuat keputusan untuk mendaftarkan mereka dan kita akan melihat kepada keperluan industri," katanya di sini, hari ini.
Katanya, bagi tujuan itu, semua sektor di negara ini diarah menyediakan input sebenar tenaga kerja yang diperlukan membabitkan industri pembuatan, perusahaan dan pembinaan.
Beliau berkata, maklum balas dari sektor berkaitan akan menjadi panduan kepada kerajaan bagi menentukan jumlah sebenar keperluan tenaga kerja dari Bangladesh yang diperlukan.