Kemasukan matrikulasi: Tidak jejas kuota Bumiputera
Hasimi Muhamad
Julai 2, 2024 22:58 MYT
Julai 2, 2024 22:58 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan memberi peluang kepada semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah untuk melanjutkan pengajian pada peringkat matrikulasi bermula tahun ini tidak akan mengganggu kuota Bumiputera.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif 'Untuk Malaysia', Zul Fikri Zamir, ia disifatkan tindakan afirmatif yang akan memberi peluang setara dan mengiktiraf golongan yang sepatutnya mendapat peluang tersebut.
Jelas beliau, tindakan yang dibuat di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan memerlukan keberanian dalam kepimpinan.
"Isunya adalah kek... sekarang ini kek itu besar mana? Jadi berapa orang yang akan dapat potongan kek tersebut. Kita tahu kuota matrikulasi sekitar 40,000. Jadi 10 peratus daripada 40,000 sebenarnya hanya 4,000 sahaja (untuk bukan Bumiputera).
"Jadi kalau kita nak berikan semua maksudnya yang dapat 10A ke atas tanpa lagi mengira kaum, saya fikir itu lah langkah yang paling baik yang boleh kita laksanakan sekarang," katanya dalam Program Agenda AWANI pada Selasa.
Beliau menambah sejak sistem kuota dilaksanakan sekitar tahun 1970-an, ia bermatlamatkan untuk melahirkan lebih ramai golongan profesional daripada kaum Bumiputera.
"Contohnya dulu kita ada lapan orang sahaja ahli farmasi, jadi tujuannya adalah supaya boleh menghasilkan 8,000 ahli farmasi pada masa depan.
"Saya membayangkan dari tahun 1970-an hingga 2024, sudah banyak yang telah berlaku. Misalnya, kalau kita tengok statisitk doktor gigi, kita dah capai lebih kurang 53.4 peratus penyertaan oleh Bumiputera di dalam segmen itu.
"Cuma dalam masa yang sama, kita masih lagi ada kekurangan dari segi arkitek, peguam, dan akauntan... Itu tak semua sampai lagi 50 peratus," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM), Noor Mohamed Shakil Hameed berpandangan, akses pendidikan sewajarnya dinikmati oleh semua yang layak tanpa mengira latar belakang dan kaum.
"Tambahan pula apa yang sedang kita bincangkan sekarang adalah tentang anak-anak Malaysia yang cemerlang dalam SPM iaitu mendapat 10A dan ke atas.
"Secara meritokrasi mereka wajar dan layak diberi peluang di mana-mana institusi pendidikan kerajaan yang bersesuaian termasuk matrikulasi," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi jaminan kerajaan mengekalkan kuota Bumiputera lepasan SPM bagi melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi susulan termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Anwar berkata walaupun keputusan itu memberikan pengiktirafan pada kecemerlangan tanpa mengira kaum dan latar belakang, namun kerajaan pada masa sama tegas mempertahankan kuota bumiputera.