Kemasukan diplomat, ekspatriat ke Sabah tidak perlu kelulusan khas masuk mulai 3 Nov

Eleanor Michelle Patrick
November 2, 2021 21:56 MYT
KOTA KINABALU: Sabah membenarkan kemasukan diplomat dan ekspatriat yang bermaustatin di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan tanpa perlu memohon kelulusan terlebih dahulu.
Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kebenaran ini berkuat kuasa bermula 3 November ini.
"Diplomat dan ekspatriat termasuk tanggungan yang sedang bermastautin di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dibenarkan masuk ke Sabah bagi tujuan lawatan sosial tanpa memerlukan Kelulusan Khas Masuk.
"Golongan ini wajib memiliki pas-pas Imigresen Malaysia yang sah tempoh untuk masuk ke Sabah," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, pemegang MyPR bukan Sabah, Kad Permit Masuk dan Endosmen Permit Masuk dalam Pasport juga dibenarkan masuk bagi tujuan lawatan sosial tanpa memerlukan Kelulusan Khas Masuk.
"Golongan ini wajib mengemukakan Pasport semasa pemeriksaan imigresen di pintu-pintu masuk Sabah," katanya.
Sementara itu, sebanyak 549 kes COVID-19 baharu dan empat kes kematian telah dilaporkan pada hari ini.
"Daripada 549 kes yang dicatat hari ini, sebanyak 155 kes adalah kes-kes yang didaftar lewat dua hari atau lebih selepas keputusan saringan diketahui.
"Kes-kes baharu yang berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam yang lalu berjumlah 394 kes daripada jumlah keseluruhan," katanya.
Tambah Masidi, kes-kes jangkitan yang dianggap serius kekal rendah, dengan jumlah kes dalam Kategori 3 adalah dua orang; Kategori 4 sebanyak lima orang dan Kategori 5 dengan tiga orang.
Kebanyakan kes jangkitan adalah dalam Kategori 2, iaitu 465 orang (84.70%) dan Kategori 1, 69 orang (12.57%). Manakala, lima kes lagi masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
#Syarat kemasukan ke Sabah #diplomat boleh masuk Sabah #Sabah #Masidi Manjun
;