Kemasukan delegasi China dapat nasihat KKM, lalui syarat ketat - Ismail Sabri

Rahimah Abdullah
September 10, 2020 16:23 MYT
Ismail Sabri berkata, perkara yang melibatkan hubungan kerajaan dengan kerajaan dibenarkan bagi meneruskan hubungan diplomatik dengan negara terlibat. -Bernama
Kehadiran delegasi dari China termasuk Menteri Pertahanannya, Wei Fenghe ke Malaysia untuk bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur Isnin lalu, sudah melalui tapisan kesihatan yang teliti.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kehadiran mereka turut dipantau Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pencegahan COVID-19 dipatuhi.
Beliau menjelaskan, syarat kemasukan yang dikenakan ke atas delegasi republik itu sangat ketat.
"Sebelum masuk ke negara kita, mereka perlu melalui ujian swab tiga hari sebelum masuk dan sampai ke pintu masuk Malaysia, mereka perlu lakukan ujian swab (sekali lagi). Kemudian mereka perlu menunggu keputusan dan jika keputusan negatif, baru mereka (dibenarkan) masuk.
"(Kemudian) mereka dibawa ke hotel dan masuk ke bilik masing-masing... mereka tidak dibenarkan keluar. Pada tengah hari, mereka ke kementerian untuk perbincangan mengenai pertahanan dua negara termasuk isu Laut China Selatan," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.
Katanya, prosedur operasi standard (SOP) lain juga turut diwajibkan termasuk memakai pelitup muka.
Katanya, selepas selesai pertemuan itu, delegasi China itu terus ke hotel masing-masing sebelum pulang semula ke negara mereka.
Jelasnya lagi, perkara yang melibatkan hubungan kerajaan dengan kerajaan adalah dibenarkan bagi meneruskan hubungan diplomatik dengan negara terlibat.
Justeru katanya, tidak timbul kebimbangan kalangan orang ramai mengenai kehadiran delegasi itu memandangkan semua SOP yang ditetapkan oleh KKM dipatuhi.
Mengulas lanjut, pertemuan dengan delegasi China itu tidak melibatkan media di Malaysia bagi memastikan proses kawalan berjalan dengan baik.
"Tiada orang lain terlibat, semuanya dari kementerian sahaja. Jadi kita buat secara low key, tiada pemberita sekali pun. Cuma mereka persoalkan dari segi kawalan keselamatan. Setiap anggota kita mesti pakai pelitup muka. Ini protokol ditetapkan mana-mana negara seluruh dunia," tambahnya.
#China #COVID-19 #Diplomatic #hotel #ismail sabri yaakob #Kementerian Kesihatan #kerajaan #keselamatan #kesihatan #KKM #Kuala Lumpur #Malaysia #Media #menteri #Muhyiddin Yassin #operasi #Perdana Menteri #SOP
;