Kemasukan Australia ke Koridor serantau dialu
Bernama
Oktober 24, 2012 11:55 MYT
Oktober 24, 2012 11:55 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kemasukan Australia di dalam Koridor Pertumbuhan yang baharu yang menghubungkan China ke negara-negara di Asia dan Timur Tengah akan memacu pertumbuhan dan kemakmuran global.
Katanya kemasukan Australia akan menyatukan sesetengah ekonomi paling kukuh di dunia.
"Dalam perutusan saya kepada Forum Ekonomi China Dunia (WCEF) yang lepas, saya menyifatkan Koridor Ekonomi Baharu yang berkembang pesat sebagai yang menghubungkan China melalui Asia Tenggara dan India ke Timur Tengah.
"Tahun ini, adalah khusus dan relevan dengan kemasukan Australia," katanya dalam perutusannya kepada Forum Ekonomi China Dunia ke-empat yang akan diadakan di sini pada 12 dan 13 Nov.
Najib berkata, HSBC Bank baru-baru ini mengunjurkan bahawa menjelang 2050, 10 daripada ekonomi terbesar di dunia akan terletak di rantau ini -- China, India, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Filipina, Australia, Malaysia, Thailand dan Pakistan.
"Sehubungan itu, akan wujud peluang yang besar bagi dijalin kerjasama serantau dan kerjasama perniagaan di dalam Laluan Sutera Yang Baharu ini," kata Najib.
Katanya kerajaan Malaysia menyokong WCEF "sebagai satu inisiatif yang dipacu sektor swasta dan yang diketuai perniagaan bagi meningkatkan integrasi dan kerjasama ekonomi dan bagi menjalin ikatan strategik antara golongan perniagaan di rantau ini."
Najib mengucapkan tahniah kepada Institut Strategik dan Kepimpinan Asia(Asli) kerana menganjurkan forum itu dan menyampaikan jemputan kepada kesemua delegasi ke WCEF akan datang yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada November tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Pengerusi Pertama Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China Dr Zhang Wei akan menyampaikan ucaptama di forum itu pada bulan depan.
Forum di Pusat Konvensyen Melbourne itu akan menampilkan 57 penceramah terkemuka dari 15 negara.' Lebih 300 delegasi dijangka hadir.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Asli Tan Sri Dr Michael Yeoh dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Strategi dan Program Asli Ng Yeen Seen berada di Melbourne pada minggu lepas untuk melihat persediaan forum itu, yang telah menjana minat yang besar di kalangan rakyat Australia dan kerajaan negeri serta komuniti perniagaan.
Ucapan alu-aluan akan disampaikan oleh bekas Gabenor-Jeneral Australia dan Pengerusi Global Foundation, Mej-Jen Michael Jeffrey dan Gabenor Negeri Victoria Alex Chernov.
Menteri Perdagangan Australia Dr Craig Emerson; Pengerusi Pasukan Petugas Khas "Australia in the Asian Century", Dr Ken Henry dan naib Canselor Monash University Prof Edward Byrne adalah antara penceramah terkemuka dari Australia.