Kemasukan 500,000 pekerja warga asing bagi sektor tidak diminati warga tempatan
Bernama
Januari 15, 2023 04:15 MYT
Januari 15, 2023 04:15 MYT
BATU GAJAH: Kemasukan seramai 500,000 pekerja warga asing ke Malaysia yang dirancang pada tahun ini, tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata ini kerana, mereka yang dibawa dari 15 negara sumber dalam benua Asia itu, berdasarkan permintaan ditempatkan di sektor-sektor yang tidak diminati oleh warga tempatan, antaranya dalam sektor perladangan, pertanian dan pembinaan.
"Kita mendapati amat sukar mendapatkan pekerja tempatan untuk bekerja di sektor-sektor ini.
"Kebergantungan kita pada pekerja asing dalam sektor ini amat tinggi, apabila tidak dapat 'bekalan' penawaran secukupnya akan mengganggu operasi sektor-sektor ini secara optimal dan mengakibatkan kerugian besar kepada agensi," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyalaan tanglung di Pusing di sini malam tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah berkata masalah kekurangan pekerja perlu diselesaikan segera, kerana dibimbangi mengakibatkan ekonomi tidak dapat berkembang dengan baik, lebih-lebih lagi lebih 700,000 pekerja warga asing telah pulang ke negara masing-masing ketika pandemik COVID-19.
Beliau berkata hasil perbincangan pihaknya dan Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini telah mencapai kata sepakat, bagi mempermudah dan mempercepatkan proses permohonan pengambilan pekerja warga asing yang kini hanya mengambil masa selama tiga hari.
"Banyak perniagaan akan ditutup sekiranya tidak mempunyai pekerja yang mencukupi jadi sebelum keadaan menjadi parah, kita bekalkan tenaga kerja untuk operasi sektor-sektor yang memerlukan.
"Kerajaan akan mengambil langkah dalam usaha untuk mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang dijangka melanda seluruh dunia," katanya.
Pada Oktober lepas Ahli Majlis Pemulihan Negara Datuk Michael Kang dilaporkan berkata Malaysia memerlukan seramai 500,000 pekerja asing, bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja untuk perusahaan mikro, kecil, dan sederhana dalam menyokong proses pemulihan negara.
-- BERNAMA