Kemaskan Bahasa Melayu secara domestik dahulu, sebelum perkenal ke luar negara - Rais Yatim

Fareez Azman
April 25, 2022 16:10 MYT
Manurut Rais, pembelajaran serta penguasaan ilmu Bahasa Melayu itu amat penting dalam kalangan rakyat terutamanya dalam pelbagai sektor ekonomi. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim mengingatkan semua pihak agar memperkemaskan Bahasa Melayu dahulu secara domestik sebelum diperkenalkan kepada dunia.
Jelasnya, pembelajaran serta penguasaan ilmu Bahasa Melayu itu amat penting dalam kalangan rakyat terutamanya dalam pelbagai sektor ekonomi.
"Kita kemaskan dulu Bahasa Melayu secara domestik sebelum kita katakan kita hendak (perkenal) ke luar negara. Namun pembelajaran Bahasa Melayu secara mendalam menerusi sastera dan budaya perlu terus berada (seperti yang ditawarkan) di beberapa universiti ulung di luar negara seperti di China, Tokyo, Frankfurt dan sebagainya," kata beliau.
Jelas Rais, usaha berterusan perlu dijalankan bersama Indonesia untuk memajukan bahasa serantau.
Katanya, meskipun terdapat penolakan terhadap usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua di ASEAN, namun titik pertemuan antara dua bahasa itu perlu dicari dalam memastikan kemajuan serantau dikecapi.
"Jangan dijadikan Bahasa Melayu dengan Bahasa Indonesia sebagai konflik tetapi komplimen untuk kemajuan serantau, itu yang kita bincangkan.
"Orang salah faham, kita nak majukan Bahasa Melayu ke tahap tertentu, tidak hanya satu tahap intelektual, malah merangkumi tahap perbualan yang diterima pakai dengan baik termasuk dalam YouTube atau laman sesawang.
"Tinggal lagi dalam ASEAN, mesti ada satu nilai bersama, yakni Bahasa Melayu dengan Bahasa Indonesia akan bawa nilai baharu kepada penduduk kita," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama 35 Badan Bukan Kerajaan (NGO) berhubung draf pindaan Akta DBP 1959 di Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka di ibu negara pada Isnin.
#draf pindaan #akta #Dewan Bahasa dan Pustaka #NGO #Bahasa Melayu #Rais Yatim
;